BARISAN artis yang terbabit dalam konsert berkenaan.
BARISAN artis yang terbabit dalam konsert berkenaan.
Ridzuan Abdul Rahman


Ramai penganjur berlumba-lumba menganjurkan konsert rock terutama era 1980-an untuk memenuhi permintaan peminat genre muzik yang kekal diminati hingga sekarang itu.

Namun, selalunya band yang kerap ditampilkan adalah orang yang sama sedangkan era rock ketika itu yang penuh warna-warni dimeriahkan dengan pelbagai band rock.

Situasi ini menjentik perasaan Hatta Junction apabila bertindak menganjurkan Konsert Rock Kapak menerusi syarikatnya, Attah Music dengan kerjasama Boss Production.

Selain Junction, konsert yang berlangsung di Panggung Asia Gombak Oktober ini turut menampilkan band Desire dan Meditasi.

"Kita tengok lepas Covid-19 banyak konsert dianjurkan. Kalau lihat balik pada era rock dulu, kita ada banyak band. Mungkin mencapai 100 band ketika itu.

"Tapi, apa yang berlaku sekarang ini, kita tengok konsert ini didominasi band tertentu saja. Tapi, saya tiada masalah kerana ia rezeki masing-masing dan hak penganjur.

"Saya tengok ramai lagi sahabat yang mungkin boleh diketengahkan. Jadi, saya terpanggil nak jemput mereka beraksi dalam konsert ini.

HATTA keluarkan kos sendiri untuk anjurkan Konsert Rock Kapak.
HATTA keluarkan kos sendiri untuk anjurkan Konsert Rock Kapak.

"Saya percaya dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain. Untuk itu, saya tampilkan band yang tidak diberi peluang mengadakan persembahan sebelum ini," katanya.

Hatta yang juga penyanyi Junction berkata, trend di negara kita juga menyaksikan hanya penyanyi diundang menjayakan persembahan secara solo sedangkan mereka sepatutnya tampil beraksi sebagai satu kumpulan.

"Kami di sini mengamalkan semangat setiakawan. Jadi, saya bawakan mereka tampil berkumpulan dengan syarat mesti ada pulangan yang memuaskan.

"Namun, kalau tiada, saya pun tak boleh buat apa. Attah Music dan Boss Production sedar mungkin pulangan dari segi pendapatan tidak memberangsangkan.

"Tapi, apa yang lebih penting adalah memberi kegembiraan serta kepuasan kepada peminat serta kumpulan yang terbabit dalam konsert ini," katanya yang mengharapkan sokongan peminat terhadap konsert anjurannya.

Era kegemilangan rock dulu menyaksikan Junction popular menerusi lagu Akan Ku Kenang dan Monolog Untuk Rina, Desire pula dengan Bias Cinta, Sumpitan Senja dan Sentuhan, manakala Meditasi menerusi Bidadari dan Biar Pedih Kasih Memanjang.

Persembahan pembukaan konsert ini akan menampilkan band BloodBrothers dan Revenge.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2023 @ 6:30 AM