DESIRE siap sedia dengan persembahan terbaik.
DESIRE siap sedia dengan persembahan terbaik.
Abnor Hamizam Abd Manap


Tiga kumpulan rock legenda iaitu Junction, Meditasi dan Desire yang pernah mewarnai zaman kegemilangan muzik rock negara sekitar 1990-an, bakal kembali menemui peminatnya menerusi Konsert Rock Kapak pada 7 Oktober ini.

Konsert yang akan diadakan di Panggung Asia Jalan Gombak, Kuala Lumpur itu dianjurkan Boss Production dan Attah Music.

Hatta Junction berkata konsert yang dijangka bermula pada jam 8 malam itu bakal menyajikan lagu popular daripada tiga kumpulan berkenaan.

Katanya, penampilan ketiga-tiga kumpulan menerusi konsert itu juga turut bertujuan memenuhi permintaan peminat muzik rock.

"Ramai peminat tanya, bila nak buat konsert, tidak dapat konsert besar, mini konsert pun okey, berbulan juga memikirkan sebab untuk mengadakan konsert banyak perbelanjaan diperlukan.

"Alhamdulillah, setakat ini dua penaja sudi tampil membantu kumpulan kami bagi mengadakan konsert yang hanya mengenakan tiket berharga RM85," katanya ketika dihubungi RapXtra.

Hatta berkata di tengah-tengah kerancakan pelbagai penganjuran konsert artis tanah air dan antarabangsa, masih ada kumpulan rock era 1980-an yang tidak diberi peluang atau dijemput membuat persembahan menyebabkan kumpulan rock perlu mengambil inisiatif sendiri menganjurkan konsert.

JUNCTION mempunyai pengikut tersendiri.
JUNCTION mempunyai pengikut tersendiri.

Katanya, dakwaan kumpulan rock ini juga sudah berkubur juga adalah tidak benar memandangkan semuanya masih aktif bermain muzik dan dengan konsert yang bakal diadakan, segala persoalan peminat akan terjawab.

"Kami masih aktif, namun peluang untuk membuat persembahan tidak pernah diterima dan melihat kepada permintaan peminat sewajarnya kami diberi ruang dan peluang untuk berkarya apatah lagi selepas 30 tahun kebanyakan lagu daripada kumpulan ini masih dimainkan di radio dan diminati," katanya.

Bercerita lanjut mengenai konsert berkenaan, Hatta berkata setiap kumpulan akan diberi masa selama 60 minit bagi membuat persembahan dan akan mendendangkan lagu popular daripada album masing-masing.

Katanya, peminat sebelum itu akan dihiburkan oleh kumpulan Revenge & Bloodbrothers yang akan menjadi kumpulan yang menjayakan persembahan pembukaan (opening band).

Jelasnya, peminat yang datang menyaksikan konsert pada malam itu juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah antaranya gitar elektrik, gitar akustik, jaket kulit selain pelbagai barangan.

Justeru itu mereka yang ingin mendengar secara langsung lagu seperti Akan Ku Kenang, Biar Pedih Kasih Memanjang dan Bias Cinta pasti tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan konsert ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2023 @ 6:30 AM