Vokalis kumpulan Junction, Hatta
Vokalis kumpulan Junction, Hatta
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: "Terus terang saya akui jualan tiket untuk Konsert Rock Kapak setakat ini hanya terjual tidak sampai 100 keping walaupun tarikhnya sudah dekat iaitu 7 Oktober ini.

"Bagaimanapun saya tak putus asa untuk teruskan konsert ini. Harga tiket RM85 pun tak akan diturunkan semata-mata untuk tarik peminat. Walau hanya 10 orang menonton persembahan akan diteruskan," kata Hatta penyanyi kumpulan rock Junction.

Hatta adalah penganjur konsert yang bakal berlangsung di Panggung Asia Jalan Gombak, Kuala Lumpur menerusi syarikatnya Attah Music dan Boss Production.

Tiga kumpulan rock legenda iaitu Junction, Meditasi dan Desire yang pernah mewarnai zaman kegemilangan muzik rock negara sekitar 1990-an digandingkan dalam konsert di lokasi yang memuatkan 1000 penonton ini.

Menurutnya, kelesuan jualan tiket mungkin berpunca daripada persaingan dengan konsert lain.

"Kita tengok banyak konsert diadakan dan saya tahu pasaran akan tepu di Kuala Lumpur. Kita perlu ada badan yang memantau konsert yang berlangsung agar jaraknya tak terlalu dekat.

"Kesannya ada yang gagal dapat sambutan dan sebahagian konsert dua tiga kali diturunkan harga tiket dan ada yang turun separuh harga.

"Ada juga yang akhirnya masuk percuma. Tapi saya nak tegaskan di sini macam mana pun walau 10 orang pun yang datang, kita tetap dengan tiket RM85," katanya pada sidang media berlangsung di sebuah hotel di sini, semalam.

Menurutnya, mereka tak akan sesekali memberi masuk percuma atau turunkan harga tiket.

"Memang takkan turunkan. Biarlah 10 orang atau seorang pun datang. Itulah harga kita. Jika ada yang berkata ada mulut yang perlu disuap, situasinya juga sama dengan kami.

"Kami ada keluarga nak diberi makan. Kawan-kawan saya ini pun lama tiada show. Kami buat sendiri promosi dan mungkin ada kelemahan. Dengan bajet yang ketat memang agak susah nak bergerak.

"Apa yang kita ada, kami gunakan media sosial untuk buat promosi. Apapun seperti saya kata, faktor banyak konsert lain turut beri kesan," katanya yang positif sambutan baik akan diterima pada saat akhir.

Peminat yang datang menyaksikan konsert pada malam itu juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah antaranya gitar elektrik, gitar akustik, jaket kulit selain pelbagai barangan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2023 @ 2:46 PM