AC Mizal percaya program realiti terbabit mampu meredakan tekanan yang dihadapi masyarakat ketika ini.
AC Mizal percaya program realiti terbabit mampu meredakan tekanan yang dihadapi masyarakat ketika ini.
Najiy Jefri

Program realiti terbaharu terbitan Astro, All Together Now Malaysia (ATNMY) yang ditayangkan di Astro Ria, Ahad ini, dijangka bakal mencetuskan fenomena di negara ini.

Pengacara popular, Datuk AC Mizal yang bertindak sebagai kapten juri berkata, program terbabit bakal memberikan keceriaan buat masyarakat yang ketika ini mungkin terkesan dengan situasi pandemik.

Katanya, program terbabit turut membuka pintu rezeki buat selebriti dan kru yang terbabit serta bakal mengubah kehidupan peserta.

"Terdapat dua aspek kita perlu lihat dalam program ATNMY ini. Pertama adalah pembabitan daripada semua artis dan tenaga kerja.

"Daripada kru yang hidangkan makanan sehingga yang menyempurnakan segala hal, sekurang-kurangnya mereka masih ada pekerjaan pada waktu sukar ini.

"Kedua, Astro sentiasa tampil dengan pelbagai rancangan baharu sebagai hiburan buat mereka yang berada di rumah. Kita tetap perlukan hiburan untuk sentiasa positif," katanya.

ATNMY adalah sebuah program realiti yang diadaptasi daripada format antarabangsa popular All Together Now yang berasal dari United Kingdom terbitan BBC One.

Program ini turut mencetuskan fenomena luar biasa di luar negara sehingga format berkenaan diadaptasi semula di serata dunia termasuk Australia, Russia, Turki, Brazil, Norway, Colombia, Denmark, Finland dan Perancis.

Malaysia adalah negara ke-17 di dunia dan yang pertama di Asia Tenggara menerbitkan program ini untuk versi tempatan. ATNMY masih mengekalkan format asal program berkenaan.

Menurut AC, program berkonsepkan hiburan amat diperlukan bagi mengeratkan lagi hubungan sesama keluarga.

"Kalau kita sentiasa disajikan dengan berita negatif, kita bukan saja boleh murung, tetapi kita tidak boleh untuk meneruskan kehidupan secara normal.

"Ketika ini adalah norma baharu. Walaupun suasananya tidak seperti dulu, sekurang-kurangnya ia boleh mengurangkan segala tekanan," katanya.

Katanya, dia teruja apabila dipilih menjadi sebahagian daripada keluarga program terbabit kerana dapat melihat bakat baharu yang begitu luar biasa.

"Program ini bakal mengubah nasib mereka. Saya begitu kagum dengan bakat seni yang mereka miliki hingga saya sukar untuk memilih peserta yang layak ke pusingan seterusnya. Saya akui program ini sememangnya memberi cabaran baharu kepada saya," katanya.

Keunikan utama program ATNMY yang dikendalikan Sherry Al Hadad selaku pengacara ini terletak kepada jumlah bilangan juri profesional dan peserta yang cukup besar membabitkan 50 juri tetap serta hampir 250 keseluruhan peserta untuk musim pertama.

Mengangkat tagline Bersatu Dengan Lagu, penerbitan musim pertama ini turut memperkenalkan konsep muhibah menerusi pemilihan barisan juri dan menyaksikan penyertaan daripada masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 6:54 AM