AZNIL bersama pelakon Geng UPSR2 pada majlis pelancaran drama itu, baru-baru ini.
AZNIL bersama pelakon Geng UPSR2 pada majlis pelancaran drama itu, baru-baru ini.
Najiy Jefri


Selepas musim pertama mencatat sejarah sebagai rancangan paling banyak ditonton di Astro Tutor TV UPSR (saluran 601), kini drama ulang kaji interaktif UPSR, Geng UPSR kembali lagi dengan musim baru.

Belajar secara ‘online’, Geng UPSR2 membantu pelajar mengulang kaji pelajaran mengikut format baharu UPSR yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan Malaysia, tahun ini secara interaktif sambil menonton drama.

Menggabungkan elemen hiburan dan pendidikan, Geng UPSR2 masih mengekalkan pelakon cilik berbakat besar iaitu Sheikh Basser, Wafiy, Erissa, Elyn Leong, Dansh Zakwan dan Rafael El Arash sebagai teraju utama.

Lebih menarik, pengacara, Datuk Aznil Nawawi akan tampil sebagai guru besar selain turut menyaksikan penambahan wajah baharu iaitu Fikry dan Keziah Kaur.

Drama ini turut dilengkapi aplikasi Geng UPSR. Ia membolehkan pembelajaran interaktif dilakukan terhadap semua subjek secara langsung ketika pelajar menonton drama bersiri ini di televisyen.

Menurut Ketua Bahagian Pendidikan Astro, Vickie Lai, kaedah ini dilihat dapat meningkatkan pembelajaran menerusi nota ulang kaji dalam bentuk grafik dan menguji pemahaman pelajar dalam subjek utama UPSR iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains dengan pelbagai kuiz menarik disediakan dalam aplikasi berkenaan.

“Pelancaran Geng UPSR ini adalah komitmen kami dalam menawarkan kandungan yang mendidik, memberi maklumat dan memperkayakan kehidupan mengikut format terbaru UPSR kepada orang ramai.

“Selain menawarkan hiburan terbaik, kami juga berbesar hati menjadi Rakan Strategik Kokurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia dan akan terus menyediakan kandungan yang berkualiti berlandaskan sukatan pelajaran akademik yang diluluskan kementerian menerusi Astro Tutor TV UPSR,” katanya pada majlis pelancaran drama itu di Sekolah Kebangsaan Datuk Onn Jaafar, Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Disiarkan sebanyak 10 episod, drama itu akan bersiaran di Astro Tutor TV UPSR (saluran 601) setiap Sabtu, jam 6 petang bermula 22 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2016 @ 12:34 PM