HISYAM Hamid.
HISYAM Hamid.
Najiy Jefri

Menggalas tanggungjawab sebagai pengacara, pelakon Hisyam Hamid mendedahkan dia berdepan insomnia pada minggu pertama penggambaran rancangan realiti pencarian bakat pereka fesyen tempatan, Generasi Fesyen (Gen F) awal Februari lalu.

Mengakui bukan mudah bertindak sebagai pengemudi acara, pelakon kelahiran Singapura itu mengakui gementar dan tertekan untuk memberikan kualiti kerja terbaik.

“Ini adalah pengalaman pertama saya dan sudah tentu ia bukanlah tugas yang mudah.

“Bayangkan pada minggu pertama rakaman Gen F saya tertekan sampai tak boleh tidur malam.

“Biasanya saya akan menghafal skrip sampai waktu Subuh dan akan tidur selepas itu sampaikan isteri menegur sikap pelik saya yang terlebih risau daripada kebiasaan.

“Namun, apabila memasuki minggu kedua, saya sudah semakin selesa beraksi spontan di hadapan kamera dan tidak hanya bergantung dengan skrip,” katanya.

Tambah Hisyam, dia sudah bersedia menerima kritikan dan pujian sebaik program itu bersiaran.

“Adat benda baru pasti dikritik. Saya kena bersedia dengan apa saja kemungkinan.

“Lagipun ini adalah permulaan kerjaya baru, apa yang penting saya tahu perkara yang perlu dilakukan dan banyakkan berlatih,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai program realiti itu, Hisyam berkata ia akan ditayangkan pada Ahad, jam 9 malam di saluran Astro Ria selama lapan minggu bermula 11 Mac ini.

Sementara itu, Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, program itu antara usaha mengangkat industri kreatif negara selain memberi ruang kepada generasi muda menyerlahkan bakat serta kreativiti mereka.

Program realiti itu akan menampilkan 10 jenama pereka fesyen tempatan yang akan bersaing seterusnya melonjakkan hasil karya mereka ke peringkat antarabangsa.

Peserta perlu menyelesaikan beberapa tugasan dan cabaran mingguan dengan menghasilkan rekaan paling kreatif dalam tempoh 30 jam.

Pemenang akan membawa pulang wang tunai RM100,000 sumbangan Astro dan koleksi kapsul tajaan penaja utama.

Lebih menarik, pereka terkenal Rizalman akan bertindak sebagai juri tetap dan pemilik Fashionvalet Vivy Yusuf sebagai mentor rancangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Mac 2018 @ 4:27 AM