Afgan akan menjayakan konsert amal bersama 99 rakan artis untuk kumpul dana. - FOTO Arkib NSTP
Afgan akan menjayakan konsert amal bersama 99 rakan artis untuk kumpul dana. - FOTO Arkib NSTP
Najiy Jefri


SIMPATI dengan nasib lebih 350,000 penduduk Palu, Sulawesi Tengah yang berdepan bencana gempa bumi dan tsunami pada 28 September lalu, penyanyi Afgan bakal mengadakan konsert amal bagi membantu mangsa.

Berkolaborasi dengan 99 penyanyi terkenal Indonesia, konsert yang bertujuan mengumpul dana itu akan berlangsung di Jakarta pada 5 Oktober ini.

"Saya sedih melihat bencana yang berlaku di Palu. Tidak dinafikan, kadang-kadang Allah memberikan teguran dengan pelbagai cara.

“Bagi meringankan beban mangsa, saya dan rakan-rakan artis akan mengadakan konsert amal bagi mengumpul dana sebanyak mungkin,” katanya ketika ditemui di sidang media Konsert Dekade di ibu kota semalam.

Penyanyi popular seberang itu tidak ketinggalan berkongsi pengalaman cemas gempa bumi di Lombok pada 29 Julai lalu.

Afgan atau nama sebenarnya Afgansyah Reza, 29, berkata, ketika itu dia yang bercuti di Bali turut merasai gegaran berkenaan.

"Ia berlaku kira-kira jam 7 pagi dan saya masih tidur. Berikutan gegaran yang kuat, saya terjaga dan panik.

"Insiden itu sangat menakutkan. Bayangkan saya yang berada di Bali pun rasa gegaran itu apatah lagi penduduk Lombok,” katanya.

Bagi membantu mangsa di Lombok, Afgan dan rakan-rakannya membina tempat mandi memandangkan lokasi kejadian kekurangan air bersih.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 3:38 PM