MILA Jirin bersama kereta Mercedes Benz S400 yang dihadiahkan suaminya. FOTO Instagram Mila Jirin
MILA Jirin bersama kereta Mercedes Benz S400 yang dihadiahkan suaminya. FOTO Instagram Mila Jirin
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI Mila Jirin terkejut apabila dihadiahkan kereta mewah jenis Mercedes Benz S400 bernilai lebih RM500,000 oleh suami, Ahmad Ailis Mohamed Mustapha, semalam.

Mila, 31, atau nama sebenarnya Noorsyarmilla Jirin berkata, pada mulanya dia beranggapan suami bergurau, namun tidak menjangka ia kejutan buat dirinya.

“Empat tahun lalu saya pernah cakap kepada suami yang saya sukakan kereta itu. Ia adalah kereta impian saya.

“Suami hanya cakap, insya Allah, sabar kerana satu hari nanti saya mesti dapat. Dia minta saya fokus kepada perniagaan dulu.

“Dua hari lepas suami hantar gambar kereta dan katanya ia hadiah untuk saya, namun, saya tidak percaya dan anggap ia bergurau. Semalam, dia bawa saya pilih nombor plat kereta. Memang terkejut dibuatnya,” katanya kepada Harian Metro.

Mila yang juga juara program Akademi Fantasia musim kelima berkata, hadiah itu diberikan atas usaha dan pencapaian dalam perniagaan diusahakan selama ini.

Mila berkata, suaminya berpesan apa yang diraih selama ini adalah harta dunia dan sekadar pinjaman daripada Allah SWT.

“Walaupun kebahagiaan bukan diukur dengan material, tetapi apabila sesekali suami buat kejutan manja ini, terasa ‘sweet’ sangat.

“Cuma suami pesan ini harta dunia. Semoga ia dapat memberikan suntikan semangat untuk lebih berjaya dalam perniagaan.

“Suami hadiahkan sebagai mentor yang melihat mentinya berjaya sampai tahap ini. Saya bukanlah siapa-siapa, tiada pelajaran tinggi, tetapi Allah hadirkan suami untuk membimbing saya menjadi seorang usahawan,” katanya.

Mila berkata, dia bersyukur apabila Allah permudahkan segala urusan walaupun sepanjang 10 tahun berniaga, dia dan suami melalui pelbagai dugaan dan cabaran.

“Saya bersyukur melihat perkembangan Bizmilla Catering. Jika lima tahun lalu tidak punya dewan perkahwinan, sekarang kami sudah memiliki lapan dewan iaitu enam di Subang, satu di Kuala Lumpur dan Kajang.

“Banyak rezeki Allah berikan buat saya dan suami. Perniagaan ini berkembang maju hingga saya dapat memacu syarikat yang berpangkalan di Hong Kong iaitu Bizmilla International Trading Co.Ltd.

“Syarikat ini lebih kepada import dan eksport pelbagai jenis barangan untuk industri perkahwinan dan katering bagi pasaran Malaysia, Brunei, Singapura, Indonesia dan Australia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 September 2018 @ 11:00 AM