MILA Jirin. FOTO Aziah Azmee
MILA Jirin. FOTO Aziah Azmee
Norhayati Nordin

Ternyata tidak mudah untuk jadi ahli perniagaan berjaya.

Semestinya, pelbagai rintangan harus ditempuh meskipun ada kalanya memeritkan.

Apatah lagi, sebagai selebriti yang dikenali seharusnya perniagaan diusahakan menjadi perhatian pelanggan yang menginginkan perkhidmatan terbaik.

Sehubungan itu, sepanjang lima tahun mengusahakan perniagaan pengurusan perkahwinan ternyata penyanyi Mila Jirin, 32, amat cekal hatinya.

Malah, pemilik nama sebenar Norsyarmilla Jirin lebih selesa bersikap positif dan bertindak rasional dalam menyelesaikan setiap masalah.

Tidak cepat melatah, penyanyi yang popular dengan lagu Persis Mutiara itu mengakui sentiasa cuba mengambil langkah terbaik.

“Saya tidak gemar memanjangkan cerita. Ini kerana, saya percaya setiap masalah pasti ada jalan penyelesaian.

“Penyelesaian masalah mesti ada perbincangan. Jangan bertindak melulu disebabkan terpengaruh dengan desakan emosi.

“Fikiran harus tenang untuk mencari resolusi terbaik tanpa mencetuskan perbalahan yang pastinya mengeruhkan lagi keadaan,” katanya.

Berbicara lanjut mengenai dugaan dalam perniagaan, Mila memberitahu, dia anggap semua itu sebagai ujian daripada Allah.

Mila yang pernah dinobatkan juara Akademi Fantasia 5 (AF5) pada 2007 berkata, seiring status sebagai ibu dan peningkatan usia, dia harus bersikap matang.

Lagipun, ujarnya, dia bersyukur kerana suami, Ailis Mustapha banyak membantu dan sentiasa berada di sisi memberikan dorongan.

“Walaupun masih banyak yang perlu saya pelajar, suami banyak membantu dan sering berkongsi ilmu.

“Mujur juga, saya minat berniaga jadi agak mudah untuk kami berbincang dan mencapai kata sepakat,” katanya.

Mila dan Ailis mendirikan rumah tangga pada November 2015 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Mohd Arif Zikri yang kini berusia 20 bulan.

Mengulas karier nyanyiannya, Mila menghasilkan single terbaru berjudul Adam & Hawa ciptaan dan lirik oleh komposer Sigit Baskara.

Tidak lagi mengejar populariti, single Adam & Hawa menjurus pada lagu kerohanian mengisahkan hubungan romantis suami isteri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 11:00 AM