AIMAN (kiri) bersama ibunya, Isma AF dan adik-adiknya. FOTO Instagram Isma AF, Halimaton Saadiah Sulaiman
AIMAN (kiri) bersama ibunya, Isma AF dan adik-adiknya. FOTO Instagram Isma AF, Halimaton Saadiah Sulaiman
Norhayati Nordin


PEMAIN dram kumpulan TreeHill, Aiman, 20, enggan menggunakan pengaruh ahli keluarganya untuk membina nama dan dikenali dalam industri seni.

Aiman atau Muhammad Haiqal Aiman adalah anak sulung pasangan komposer dan penerbit lagu, Zul 2 By 2 bersama penyanyi Ismaliza Ismail atau Isma AF.

Justeru, Aiman yang juga anak saudara penyanyi Tomok berkata, dia tak mahu menggunakan pengaruh keluarga sebagai batu loncatan dan jalan pintas.

Aiman ketika ditemui bersama kumpulannya TreeHill memberitahu dia kini selesa bergerak secara kumpulan dan bermain dram.

"Saya boleh menyanyi tetapi untuk mendapatkan pendedahan dan kumpul pengalaman, lebih baik bermain muzik sebagai pemain dram saja.

"Lagipun, saya memilih untuk mulakan perjalanan kerjaya seni ini dari bawah dan biarlah grafnya bergerak naik secara semulajadi meskipun perlahan.

"Saya tidak mahu meraih populariti dengan mudah dan guna jalan pintas hanya bersandarkan nama atau pengaruh ibu bapa serta bapa saudara yang memang sudah dikenali ramai.

"Kalau ibu bapa dan bapa saudara saya boleh membina kerjaya seni mereka ke tahap sekarang dengan usaha gigih sendiri, kenapa tidak saya?

"Saya juga yakin boleh ketengahkan bakat dan bina kerjaya di atas usaha sendiri itu lebih beri kepuasan berbanding ambil peluang menumpang populariti pihak lain atas paksi hubungan kekeluargaan," katanya.

Zul dan Isma bernikah pada 16 April 1998 dan dikurniakan lima anak iaitu Aiman, Muhammad Haiqal Aydiel, 19, Seri Aida Merlissa, 17, Seri Ayreen Merlynda, 15, dan Seri Adryana Mercella, 11.

Aiman yang kini masih belajar di institusi pengajian tinggi (IPT) di Pahang sudah bergerak dengan kumpulannya, TreeHill sejak tiga tahun lalu.

Bertindak sebagai ketua kumpulan, TreeHill turut dianggotai Ahmad Sabran Mohd Salleh atau Sab sebagai vokalis, Arash Azimi Anuar (Arash, pemain gitar) dan Harry Paren Ngau (Harryparen, pemain gitar).

Kini, TreeHill makin dikenali dengan single solo mereka, Terbang hasil ciptaan Zimi Sofazr dan lirik ditulis oleh Hang Nadim.

Sehubungan itu, muzik video rasmi single Terbang yang dimuat naik di YouTube sejak sebulan lalu sudah mencatat lebih 400,000 tontonan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Ogos 2018 @ 1:02 PM