TREEHILL mahu ‘all out’ tahun ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
TREEHILL mahu ‘all out’ tahun ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Georgie Joseph

SEJAK ditubuhkan pada Disember 2014, karier kumpulan TreeHill agak perlahan jika dibandingkan dengan penyanyi seangkatan.

Mujur peminat setia tidak pernah lupa untuk sentiasa mengikuti perkembangan mereka.

Justeru, kumpulan dianggotai Sab (penyanyi), Arash (gitar), Harry (gitar) dan Aiman (dram) kembali untuk merancakkan karier semula.

Akui berhadapan banyak kekangan sebelum ini, kini mereka sedia memberikan 100 peratus fokus dalam muzik.

Aiman selaku ketua kumpulan berkata, mereka kini dalam proses gerak gempur untuk menaikkan semula nama TreeHill.

Lebih penting, mereka ingin memastikan karya dihasilkan mendapat lebih perhatian.

“Sebelum ini, kami akui sangat susah untuk bergerak secara ‘all out’ disebabkan masing-masing ada komitmen iaitu pelajaran. Lantas, banyak hal yang membuatkan kami terpaksa memperlahankan karier.

“Namun sekarang kami semua sudah tamat pengajian dan boleh kembali fokus muzik. Yang pasti, kami bersemangat untuk tampil lebih menyerlah dalam industri sekarang,” katanya.

Berkongsi mengenai perkembangan terbaru, kumpulan itu kini dalam rangka mempromosikan lagu terbaru berjudul Gerak.

Menurut mereka, lagu itu sangat berbeza dengan single pertama mereka Terbang.

Bagaimanapun, ia tidak bermakna mereka cuba lari daripada identiti asal memperjuangkan elemen pop rock.

“Gerak sedikit berbeza daripada Terbang dan banyak juga reaksi yang kami dapat daripada peminat. Ada yang kurang berkenan, tapi kami ambil perkara itu daripada sudut positif disebabkan ramai menyukainya.

“Kami memutuskan untuk tampil dengan konsep sedikit berbeza disebabkan ingin mempelbagaikan karya. Kami pun sangat suka bereksperimen dengan kemampuan masing-masing dalam menghasilkan lagu baru,” katanya.

Sudah mendapat tontonan lebih 28,000 di YouTube, Treehill juga menggunakan khidmat komposer ZIIN menerusi lagu itu.

Sejak kemunculan mereka, TreeHill juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa perbandingan dengan kumpulan senior iaitu Akim & The Majistret. Mana tidaknya, konsep muzik yang diperjuangkan seakan mirip.

Aiman berkata, mereka tidak kisah pun jika dibandingkan apalagi kumpulan itu antara inspirasi utama. Apapun, mereka tidak pernah langsung berniat meniru sesiapa dalam muzik mereka.

“Mungkin disebabkan konsep muzik itu sendiri, peminat melihat ada persamaan antara kami. Bagaimanapun, kami tidak meniru mereka pun dan sentiasa percaya dengan identiti kami ada.

“Lagipun, jika diikutkan kami sendiri pun masih muda dan berusia 20-an. Tentu sekali idea yang kami ada tidak akan sama dengan idea mereka,” katanya.

Dalam pada itu, TreeHill terus bersyukur apabila mendapat bimbingan daripada Zimi Sofarz yang menjadi nadi penting kejayaan mereka.

Bagi kumpulan itu, bimbingan dan pertolongan yang diberikan Zimi sangat membantu mereka lebih faham posisi sebagai artis terutamanya.

“Bukan saja daripada segi menghasilkan lagu, namun segala pengalamannya berkenaan industri muzik sangat membantu kami lebih memahami hala tuju bergelar artis. Sekurang-kurangnya, kami akan sentiasa peka bagaimana untuk memajukan diri.

“Setakat ini, kami juga selesa berada di bawah bimbingannya dan sentiasa menghormati keputusannya. Kami yakin dengan bantuannya juga, kami mampu pergi jauh dan mencipta nama dalam industri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Februari 2020 @ 6:12 AM