KAKA baru melancarkan single terbaru Sibuk menampilkan Alif yang juga penerbit single itu. FOTO Rohanis Shukri
KAKA baru melancarkan single terbaru Sibuk menampilkan Alif yang juga penerbit single itu. FOTO Rohanis Shukri
Syafil Syazwan Jefri

SELEPAS lebih setahun putus cinta, penyanyi dan pelakon, Kaka Azraff, 29, mengakui pernah cuba mengenali beberapa lelaki yang mendekatinya.

Bagaimanapun, belum ada lelaki yang benar-benar serasi untuk menjadi kekasih kepada penyanyi lagu Bukan Hal Aku itu.

“Dalam tempoh setahun lebih ini, ada lelaki yang cuba mendekati dan saya pun ada mengenali rakan lelaki, namun belum ada yang serasi untuk dijadikan kekasih,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, kesempatan hidup tanpa ikatan dengan mana-mana lelaki juga digunakannya sebaik mungkin untuk fokus kepada kerjaya dan keluarga.

“Kerana itu, saya sibukkan diri dengan kerja dan pada masa sama, saya ada banyak masa untuk diluangkan bersama keluarga, lebih-lebih lagi anak saudara saya.

“Mungkin juga jodoh saya masih dalam perjalanan dan berhenti di lampu merah,” katanya dalam nada berseloroh.

Kaka juga mengakui tertekan melihat rakan-rakan rapatnya sudah berkeluarga, namun yakin masanya untuk memiliki pasangan dan keluarga akan tiba.

“Insya-Allah, satu hari nanti akan ada jodoh saya dan saya akan kongsikan berita itu dengan semua.

“Bila rasa tertekan atau sunyi, saya akan sentiasa ingatkan diri saya bahawa satu hari nanti, jodoh saya akan datang,” katanya.

Ditanya sama ada benar khabar angin yang mengatakan dia menjalin hubungan dengan seorang kerabat diraja, Kaka menafikannya.

Terbaru, Kaka baru saja melancarkan single terbarunya, Sibuk menampilkan Alif yang juga penerbit untuk single itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Julai 2018 @ 9:21 PM