KAKA janjikan elemen kejutan dalam persembahan lagu Gila nanti.
KAKA janjikan elemen kejutan dalam persembahan lagu Gila nanti.
Syafil Syazwan Jefri


WALAUPUN Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35) ditunda, kehangatan serta debaran malam anugerah berprestij tetap dirasakan lebih-lebih lagi oleh barisan artis yang akan tampil membuat persembahan.

Bagaimanapun, masih ada suara-suara yang meluahkan rasa ketidakpuasan hati tatkala lagu kegemaran masing-masing tidak layak berjuang di pentas AJL35.

Lebih parah, ada juga yang mempertikai keputusan juri profesional dan menganggap sesetengah lagu yang bakal dipertandingkan tidak layak antaranya lagu Gila yang dinyanyikan Kaka Azraff, Loca B dan Noki K-Clique.

Kaka berkata, sebagai penyanyi, dia menghormati dan meraikan perbezaan pendapat dalam kalangan pencinta muzik tanah air.

"Kami menghormati pendapat orang lain. Apabila lagu Gila diumumkan layak, saya sebagai penyanyi bersyukur kerana ini adalah satu pencapaian.

Namun, pasukan kami pun tak pernah bersembang atau berbincang mengenai perkara ini," katanya.

Bagi Noki yang juga komposer lagu ini, dia tidak menolak hakikat bahawa lagu ini mungkin tidak difahami semua orang.

"Lagu ini ada maksudnya yang tersendiri. Mungkin orang tak faham apa maksud yang tersirat dalam lagu ini. Kalau mereka faham, saya yakin, mereka pasti boleh menerima kehadiran lagu ini," katanya.

Mengulas mengenai persediaan menuju AJL35, Kaka tidak boleh berkongsi terlalu banyak mengenai kejutan yang bakal ditampilkan.

"Saya tak boleh kongsikan terlalu banyak mengenai kejutan yang akan kami lakukan. Yang pasti, kami nak bawa penonton untuk masuk ke dunia yang berbeza menerusi persembahan kami," katanya.

Selain Noki, lagu Gila juga turut mendapat sentuhan Loca serta Ezra Kong.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 6:10 AM