KAKA pada sesi pra dengar album terbarunya ‘ SIBUK’ di Warner Music PJ. FOTO/ROHANIS SHUKRI
KAKA pada sesi pra dengar album terbarunya ‘ SIBUK’ di Warner Music PJ. FOTO/ROHANIS SHUKRI
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI, Kaka Azraff, 29, kini bersiap sedia untuk membawa lagunya ke Indonesia selepas mula mendapat tempat dalam dunia perfileman di negara itu.

Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff baru saja selesai menjalani penggambaran filem Zharfa The Movie di negara jiran itu dan mula diterima baik peminat dari negara jiran itu.

“Insya-Allah, filem itu akan ditayangkan di Malaysia dan Indonesia pada September nanti.

“Sebenarnya ramai peminat dari Indonesia dan Filipina yang sukakan lagu-lagu saya. Mereka minta saya bawa lagu ke sana dan saya kini sudah bersedia,” katanya kepada Harian Metro.

Kaka juga berkongsi pengalamannya bekerja dengan produksi dari negara jiran itu yang baginya, sangat selesa.

“Mereka adalah satu pasukan yang besar. Produksi mereka juga memberi layanan yang baik kepada saya walaupun saya bukan artis tempatan.

“80 peratus penggambaran dijalankan di Jakarta dan apa yang boleh saya katakan, tempoh 20 hari penggambaran berlangsung adalah pengalaman baru buat saya,” katanya.

Dalam filem itu, dia memegang peranan sebagai Zharfa yang secara kebetulan ada banyak persamaan dengan perwatakannya.

“Zharfa adalah anak hasil perkahwinan dua negara. Dia membesar di Kuala Lumpur, namun mengikut ibunya pulang ke Jakarta dan berlaku konflik di sana.

“Ia adalah satu filem yang bagi saya agak berat kerana berkisar mengenai kekeluargaan dan agaman,” katanya.

Selain Kaka, Zharfa The Movie turut dibintangi beberapa pelakon lain antaranya Jiggy Masin dan Donny Alamsyah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 1:33 PM