Syafiq jenis suka berterus terang. FOTO SALHANI IBRAHIM
Syafiq jenis suka berterus terang. FOTO SALHANI IBRAHIM
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON popular, Syafiq Kyle mengakui masih solo dan tidak bercinta dengan mana-mana wanita seperti diperkatakan.

Pengakuan Syafiq atau Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, 26, itu sekali gus menepis gosip mengatakan dia dan pelakon Hanna Delisha bercinta selepas mereka membintangi drama Mencintaimu Mr Photographer.

"Diakui saya dan Hanna bercinta di lokasi penggambaran, tapi ia bagi menghayati watak saja. Di luar, kami hanya kawan biasa. Sama juga dengan pelakon Zahirah Macwilson.

"Walaupun saya dan Hanna banyak berlakon dan menjayakan projek bersama, tidak semestinya kami bercinta. Perasaan cinta wujud ketika berlakon saja.

"Mungkin juga sebab sering bekerjasama, jadi kami selesa sebagai rakan sekerja saja. Dalam masa sama, kami juga suka berkongsi ilmu," katanya kepada Harian Metro.

Syafiq yang ditemui pada majlis An Evening With Syafiq Kyle menegaskan, jika benar mereka bercinta dia sudah lama mengakui perkara itu.

Malah, Syafiq menafikan dia sengaja berahsia hubungan itu demi menjaga populariti yang sedang diraih sekarang.

"Saya jenis suka berterus terang. Kalau betul ada cinta antara kami atau dengan sesiapa sekali pun, saya akan beritahu. Bukan apa, lambat laun perkara sebegini akan diketahui umum juga.

"Cuma, buat masa sekarang saya memang belum terfikir perkara ini. Jadi, ingin ditegaskan saya masih solo," katanya.

Ditanya mengenai soal kahwin, Syafiq tidak meletakkan sebarang sasaran sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada jodoh dan ketentuan Allah.

"Kalau ada jodoh, esok juga saya nak kahwin. Namun, ini semua ketetapan Allah. Saya hanya ikut aturan ditetapkan. Sampai masa saya berkahwin juga.

"Artis atau orang biasa, bagi saya masing-masing ada kelebihan. Saya tidak mahu bongkak cakap menolak jodoh dalam kalangan artis atau bukan. Sebab kita tidak tahu jodoh dengan siapa.

"Bagi saya, perempuan yang berpengalaman dalam soal ini ramai. Tetapi saya nak yang sedap mata memandang dan menyenangkan hati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 April 2018 @ 12:09 PM