BERIKUTAN kontroversi sebelum ini Idris lebih memilih kawan dan tidak mudah mempercayai seseorang.
BERIKUTAN kontroversi sebelum ini Idris lebih memilih kawan dan tidak mudah mempercayai seseorang.

Keterbukaan pelakon Idris Khan berbicara mengenai kisah cintanya dengan gadis Maghribi yang dikenali sebagai Saana Jaffer, 25, mengundang pelbagai maklum balas peminat di laman sosial.

Kebanyakannya beranggapan perkongsian Idris atau nama sebenarnya Muhamad Idris Abdul Ghaffar Khan, 28, itu sekadar mahu mencari publisiti murahan.

Tidak kurang juga yang menyifatkan Idris lebih dikenali kerana kontroversi berbanding hasil lakonan.

“Dalam perkara ini saya percaya publisiti yang bagus adalah untuk perkembangan kerjaya yang bagus. Seboleh-bolehnya saya tidak mahu dikenali dengan kontroversi sebaliknya dengan bakat lakonan.

“Namun, saya melihat perkara ini bergerak seiring. Semakin seseorang pelakon itu dikenali, semakin banyak cabaran dan dugaan yang akan datang. Bagi saya sendiri, apa yang berlaku sebelum ini cukup untuk mengajar saya banyak perkara.

“Disebabkan itu saya lebih bersedia berdepan dengan pelbagai masalah atau kontroversi. Malah, ia membuatkan saya lebih berhati-hati dalam setiap perkara. Paling penting jangan cepat melatah,” katanya.

Menurut Idris yang juga pelakon drama Duda Terlajak Laris, kontroversi sebelum ini apabila dia didakwa terbabit dengan skandal seks bersama dua pelakon lain menjadikankannya lebih memilih kawan.

Bukan mahu berlagak atau bersikap antisosial, sebaliknya Idris tetap dengan prinsip diri yang keadaan persekitaran mampu mempengaruhi hidup seseorang.

“Secara realistiknya banyak orang dalam industri hiburan ini saling mahu menjatuhkan. Jadi, sebagai pelakon baru saya perlu bijak menjaga dan mengawal diri. Jangan terlalu cepat mempercayai seseorang.

“Kalau nak kata kerap keluar lepak dengan rakan artis memang jarang. Saya lebih suka menyibukkan diri dengan bekerja. Kalau tak berlakon, saya memberi fokus kepada bidang penerbitan syarikat saya.

“Oleh itu, saya meletakkan 80 peratus untuk kerja dan selebihnya membabitkan hal peribadi. Tidak susah pun, asal saja diri sendiri ‘enjoy’ dengan perkara itu,” katanya.

Belum rancang kahwin

Bercerita mengenai hubungan cintanya yang sudah berjalan sejak tujuh bulan lalu, Idris berkata, setakat ini mereka belum ada sebarang perancangan untuk berkahwin.

Idris yang juga seorang model hanya mengikut aturan yang ditetapkan dan percaya jika ada jodoh pasti tidak ke mana.

“Buat masa sekarang kami masih dalam proses mengenali hati budi dan belum memikirkan soal berkahwin. Memandangkan hubungan masih di peringkat awal, saya tidak mahu terburu-buru ke arah itu. Jika semuanya berjalan lancar barulah kami boleh ke fasa lebih serius.

“Kalau boleh biar dia bekerja dahulu. Lagipun, jodoh ditentukan Allah. Semua orang ingin berkahwin, jadi saya mengikut saja aturan yang ditetapkan,” katanya.

Menurut Idris, perhubungannya dengan gadis itu sudah diketahui keluarganya.

Pada masa sama, Idris tidak mahu berahsia kerana lambat-laun akan diketahui peminat dan orang sekeliling juga.

“Saya lebih suka berterus terang. Kalau ada yang bertanya saya sedia berkongsi, begitu juga sebaliknya. Bukan apa, kalau saya berahsia pun perkara ini akan diketahui juga.

“Cuma saya tidak terlalu mendedahkannya kepada umum. Malah di Instagram pun tidak banyak gambar kami bersama. Mungkin sebab itu banyak yang tak perasan,” katanya.

Menurut Idris, Sanaa yang juga beragama Islam adalah wanita paling rapat dengannya dan menjadi tempat berkongsi cerita serta masalah.

Dalam perkembangan lain, Idris baru tamat menjalani penggambaran drama Mr Donat Karamel terbitan JS Pictures Sdn Bhd.

Antara pelakon drama itu ialah Hafidz Roshdi, Azira Shafinaz, Mona Allen dan Sheila Rusly. - Sudirman Mohd Tahir

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2016 @ 11:23 AM