HANNA hanya mempertaruhkan bakat dimiliki.
HANNA hanya mempertaruhkan bakat dimiliki.
Sudirman Mohd Tahir


KETIKA kebanyakan artis berlumba-lumba mengejar populariti hingga sanggup mencipta kontroversi sendiri, tetapi tidak bagi pelakon Hanna Aqeela.

Menurut Hanna, 28, atau nama sebenarnya Hanna Aqeela Mohd Rosni, sepanjang lima tahun bergelar pelakon, dia hanya mempertaruhkan bakat dimiliki.

Walaupun jauh di sudut hati dia ingin namanya dikenali, Hanna sentiasa berfikiran positif dan percaya rezeki akan berpihak kepadanya suatu hari nanti.

Hanna yang kini muncul dalam drama Terbaik Dariku di slot Samarinda, TV3 masih mampu tersenyum dan berbangga apabila namanya tidak asing dalam kalangan penerbit, pengarah dan stesen TV.

Bagi Hanna, selagi dia mendapat tawaran berlakon ia sudah memadai. Tidak perlu gah pada nama sekiranya hanya bersandarkan pada gosip dan cerita yang tidak membina.

“Diakui pada mulanya risau sebab orang kata kenapa saya lambat naik. Malah sehingga sekarang ramai yang beranggapan saya pelakon baru. Bagi saya tidak mengapa kerana populariti itu tak pernah menjamin kelangsungan kerjaya seseorang anak seni.

“Saya tidak mahu cepat naik, tapi cepat jatuh. Kalau boleh, biar lambat asalkan kerjaya kekal bertahan sampai bila-bila. Apa yang penting, saya tidak mahu dikenali dengan cerita kontroversi.

“Sekarang saya sangat gembira apabila ramai yang tegur disebabkan lakonan saya. Pujian dan maklum balas positif diterima membuatkan saya lebih bersemangat untuk berkarya. Sekurang-kurangnya orang tak kutuk saya kerana berlakon tak bagus,” katanya.

Hanna berkata, watak Zaharah yang dilakonkan dalam Terbaik Dariku itu mendapat perhatian penonton dan kebanyakan komen diterima di Instagram menyifatkan dia pelakon baru yang ada kualiti.

“Seperti saya katakan, tidak mengapa jika tak popular pada nama. Saya selesa jika lakonan lebih meraih perhatian.

“Cuma, mungkin belum rezeki saya nak sampai tahap seperti pelakon lain. Insya-Allah, jika saya diberikan peluang berlakon dalam slot yang popular, mungkin nama saya akan popular.

“Apabila sampai waktu itu, tidaklah saya mengalami kejutan budaya. Ini kerana saya bermula dari bawah dan sentiasa bekerja keras untuk mencapai apa diinginkan,” katanya.

Tak pilih kawan

Hanna yang turut mencuri perhatian menerusi drama Kelip Kelip Kota London berkata, dia tidak pernah memilih kawan semata-mata untuk mengelakkan terjebak ke kancah kontroversi.

Sebaliknya, sejak awal kemunculan lagi Hanna sentiasa menjadi diri sendiri tanpa cuba bersikap hipokrit.

“Saya berkawan dengan semua orang sama ada dalam kalangan artis atau orang biasa. Saya okey saja dengan sesiapa. Malah, saya tidak pernah sama sekali pandang rendah dengan seseorang.

“Cuma, saya jenis yang jarang melepak. Masa saya banyak dihabiskan bersama keluarga. Lepas habis kerja saya akan terus pulang ke rumah. Kalau keluar lepak pun sekejap saja.

“Bagi saya, setiap masalah yang datang berpunca daripada diri sendiri. Kalau betul saya silap, saya akui. Begitu juga sebaliknya. Paling penting, orang sekeliling yang rapat lebih tahu apa yang kita buat,” katanya.

Mengenai sisi peribadinya, Hanna mengakui menjalin hubungan dengan seorang akauntan berusia 29 tahun yang dikenali sebagai Farid.

Menurut Hanna, buat masa sekarang dia dan kekasihnya belum mempunyai sebarang perancangan untuk bertunang atau berkahwin sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada urusan Allah SWT.

“Hubungan kami sudah berlangsung lima tahun. Saya mengenalinya ketika baru bertapak sebagai pelakon. Buat masa sekarang, kami hanya ikut aturan. Soal kahwin, kami selalu juga bercakap mengenainya. Cuma, belum ada perbincangan dan perancangan serius.

“Apa yang penting sekarang, kami nak kumpul duit dulu. Kalau semuanya sudah okey, baru kami fikir langkah seterusnya. Lagipun, saya memang menyasarkan untuk kahwin pada usia 30 tahun.

“Saya kalau boleh tidak mahu tergesa-gesa dalam soal perkahwinan. Banyak perkara perlu dititikberatkan dan bukannya main asal boleh. Dalam kalangan keluarga pun, mereka tak pernah mendesak. Sebaliknya menyerahkan segala keputusan kepada saya. Insya Allah, doakan saja yang baik-baik,” katanya.

Hanna mengakui dia juga jarang berkongsi gambar bersama kekasih di laman sosial kerana bimbang mengundang persepsi negatif.

“Pada awal perhubungan selalu juga saya kongsi gambar bersama. Namun, apabila semakin ramai kenal, saya kurangkan. Tak nak nanti orang meluat pula kalau terlalu kerap muat naik gambar bersama.

“Pada masa sama, kekasih pun ‘low profile’ dan pemalu. Dia lebih suka kalau tidak didedahkan dalam bidang ini. Apa yang penting, kami saling memahami dan menghormati kerjaya masing-masing.

“Dia juga bukan jenis yang mengongkong dan menghalang saya berlakon dengan sesiapa. Hanya pada awal perhubungan saja sebab dia belum biasa. Lama-kelamaan, dia jadi lebih faham,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Disember 2018 @ 6:00 AM