Muzik video Sufian dapat sambutan. FOTO Youtube/Fail HM
Muzik video Sufian dapat sambutan. FOTO Youtube/Fail HM
Najiy Jefri


MUZIK video terbaharu penyanyi Sufian Suhaimi menerusi lagu Di Matamu berjaya meraih 1.5 juta tontonan di laman Youtube dalam tempoh 24 jam dilancarkan.

Lebih membanggakan, pelancaran muzik video yang sepatutnya menjadi tarikh pernikahan dengan bekas tunangnya, Elfira Loy, 24, semalam, berada di tangga pertama carta Trending Youtube Malaysia.

Sufian berkata, dia tidak menyangka dengan penerimaan baik peminat terhadap muzik video itu dan menganggap ia sebagai satu kejayaan manis sepanjang bergelar penyanyi.

"Syukur ke hadrat Ilahi. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada peminat yang tidak henti memberikan komen-komen positif terhadap muzik video ini.

"Sebelum ini lirik video Di Matamu mencatat 10 juta tontonan dalam tempoh tiga minggu. Justeru saya berharap muzik video ini akan mendapat sambutan peminat dan momentum lagu ini berada dalam jangka masa yang panjang,” katanya.

Menurut Sufian, 23 Mac tetap mencatat sejarah manis dalam hidupnya meskipun tarikh itu sepatutnya menjadi detik paling membahagiakan untuk dia dan Elfira disatukan sebagai suami isteri.

“Perkara yang lalu saya tidak mahu fikir. Namun kalau dilihat 23 Mac sepatutnya menjadi hari bahagia dalam hidup saya bersama Elfira.

“Bagaimanapun saya bersyukur tarikh ini tetap menjadi hari paling bahagia dan bermakna dengan kejayaan sambutan muzik video lagu Di Matamu,” katanya.

Tambahnya, Di Matamu bukan sepenuhnya menggambarkan perjalanan peribadinya sebaliknya single ciptaan Sirkhan dan Rinkarnaen itu bercerita mengenai lelaki pernah melalui zaman gelap dalam hidup.

Sufian dan Elfira mengikat tali pertunangan pada 8 Oktober tahun lalu, namun, ikatan yang sepatutnya menyimpul kebahagiaan antara mereka semalam, terlerai 17 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Mac 2018 @ 3:48 PM