IQBAL
IQBAL
Norhayati Nordin

Gelaran naib juara program Ceria Popstar 2 yang pernah disandang pada 2014 nyata belum cukup membantu melonjakkan bakat nyanyian Iqbal Iqnada, 19.

Pernah muncul dengan single Ibu, Iqbal yang juga anak didik Datin Alyah dalam Ceria Popstar 2 kini masih terkapai-kapai mencari peluang.

Walaupun tampil dengan single baru Kau Sakiti Ku ciptaan Razif dan lirik ditulis Puyu, peluang Iqbal tetap berliku.

Bersua dengan pemilik nama sebenar Ahmad Iqbal Baqi Omar Baqi ini, dia tidak menafikan kesukaran dilalui.

“Memang tidak mudah untuk menempa nama sebagai penyanyi. Walaupun saya muncul dengan single, peluang itu masih samar.

“Namun, mungkin ini adalah perjalanan yang sudah diatur Allah SWT buat saya. Jadi, saya perlu cekal dan terus berusaha. Selain itu, mungkin juga peluang saya agak terhad kerana tidak menetap di Kuala Lumpur seperti penyanyi baru yang lain.

“Kini, saya masih tinggal bersama keluarga di Kedah dan hanya datang ke ibu kota jika ada urusan kerja,” katanya.

Iqbal yang bekerja tetap di kantin sekolah di kampung halamannya berkata, dia juga belum bercadang mahu berhijrah ke Kuala Lumpur.

“Saya anak sulung dalam keluarga. Jadi, sukar untuk saya meninggalkan ibu bapa dan adik-beradik di Kedah.

“Hingga kini, rasanya saya belum sedia berjauhan dengan mereka. Saya lebih selesa sentiasa bersama keluarga,” katanya.

Sentiasa yakin ada rezeki buatnya, Iqbal berkata, dia juga sering menyertai pertandingan nyanyian.

“Saya tekadkan hati selalu cuba nasib menyertai pertandingan menyanyi hanya mahu menimba pengalaman.

“Perjalanan saya untuk memperoleh kejayaan menjadi penyanyi yang dikenali dalam karier seni ini masih jauh.

“Bagaimanapun, selagi tidak putus berusaha saya yakin peluang akan ada. Cuma, kini saya perlu akur semuanya bergantung pada rezeki,” katanya.

Mengulas mengenai single Kau Sakiti Ku, Iqbal berkata, lagu bergenre balada itu adalah kisah putus cinta.

“Saya sukakan lagu ini kerana melodi yang indah dan lirik pula cukup dekat dengan diri saya. Seperti remaja lelaki lain, saya juga pernah melalui pengalaman putus cinta dengan teman wanita selepas lima tahun menjalin hubungan,” katanya.

Menganggap tiada jodoh di antara mereka, Iqbal berkata, dia masih terlalu muda dan perjalanan hidup masih jauh.

Katanya, dia kini fokus pada mencari hala tuju ke arah menjadi penyanyi yang berjaya suatu hari nanti.

“Harapan saya sekarang, semoga single Kau Sakiti Ku diterima baik pendengar dan mesra radio,” katanya.

Lirik video single Kau Sakiti Ku sudah dimuat naik di YouTube sejak lapan bulan lalu dan kini mencatat 375,000 tontonan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Mac 2018 @ 3:13 AM