PUTERA Muhammad.
PUTERA Muhammad.
Norhayati Nordin

Hampir empat tahun mencanai bakat sebagai penyanyi, tuah belum berpihak kepada Putera Muhammad, 25.

Meskipun bernaung di bawah syarikat rakaman SRC, Putera nampaknya masih terkial-kial memahat nama dan bakatnya.

Pernah muncul dengan single pertama, Ada Kamu pada tahun lalu, impak diperoleh Putera untuk karier nyanyiannya agak suram.

Mengulas perkara itu, Putera atau nama sebenarnya Putera Muhammad Shamsull Kamar berkata dia

sedih apabila single pertama taruhannya itu tidak mendapat sambutan.

“Bagaimanapun, tidak wajar untuk saya berputus asa kerana kembara seni masih jauh.

“Saya perlu akur betapa faktor tuah perlu diambil kira kerana setiap penyanyi perjalanan kariernya berbeza.

“Bagi mengubat kesedihan lalu saya teruskan perjuangan dengan mempertaruhkan single kedua berjudul Putus.

“Mengetengahkan genre ‘slow rock’, saya yakin lagu ini dapat diterima pendengar,” katanya.

Berbicara lanjut mengenai single Putus, Putera berkata dia gembira dapat menyanyikan lagu ciptaan komposer Din Omar.

“Cuma, bagi memantapkan susunan muzik single ini saya bekerjasama dengan pemuzik Zimi Sofazr.

“Putus mengisahkan percintaan sepasang kekasih yang terkandas di tengah jalan.

“Saya memilih kisah putus cinta untuk single kedua ini kerana ia senario yang biasa berlaku dalam masyarakat.

“Setiap individu, tidak kira peringkat usia, agama, kaum dan kerjaya pasti ada pengalaman putus cinta,” katanya.

Putera berkata, me­nyedari percubaannya menerusi single terdahulu yang bergenre kerohanian tidak menjadi, dia perlu bangkit semula.

Enggan mensia-siakan peluang dimiliki, Putera berkata dia nekad mencuba dan sedia menyanyikan apa saja genre lagu supaya dikenali sebagai penyanyi versatil.

Mengharapkan single Putus akan mesra radio, Putera berkata video lirik lagu itu sudah dimuat naik di YouTube.

“Setakat ini, komen yang diterima daripada pelayar YouTube yang sudah mendengar single Putus sangat positif.

“Moga Putus mesra radio dan terus mendapat maklum balas baik pendengar di platform digital,” katanya.

Sehubungan itu, Putera turut berkongsi bakal menamatkan pengajian Sarjana Komunikasi Massa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) hujung tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Oktober 2018 @ 1:00 PM