Oleh Norhayati Nordin


Meskipun baru berusia belasan tahun, namun, disebabkan kemunculan dalam program pencarian bakat nyanyian Ceria Popstar musim kedua membuatkan Iqbal makin dikenali.

Apatah lagi, bersandarkan bakat besarnya yang berpotensi dalam nyanyian melayakkan Iqbal turut mendapat peluang merakamkan single sulung, Ibu.

Bersama enam lagi rakan lain, Iqbal atau Ahmad Iqbal Baqi Omar Baqi, 15, bergabung merakam­kan single masing-masing yang dimuatkan dalam album kompilasi Ceria Popstar.

Ditemui pada majlis pelancaran album itu baru-baru ini, Iqbal yang tampil ceria dan teruja berkata, dia tidak menduga diri makin dikenali.

Katanya, berbanding dulu dirinya mungkin seorang pelajar sekolah biasa. Namun, sekarang perbezaan sebagai artis itu mula dirasai.

"Sekarang ini, kalau pergi mana-mana pun memang ada orang yang me_ngenali saya. Apatah lagi, di negeri kelahiran iaitu Kedah.

"Saya bersyukur dan gembira dengan populariti yang mula dikecapi kini. Pun begitu, ia sama sekali tidak melekakan saya.

"Cuma, berasa terkejut memang tak dapat dielak. Ditambah pengalaman yang pernah saya alami sendiri ketika muncul membuat persembahan di Perlis beberapa bulan lalu," katanya.

Iqbal yang menduduki ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) Oktober lalu berkata, apa yang pasti dia seronok kemunculannya dalam bidang nyanyian diterima baik.

Menurut anak didik pe_nyanyi Alyah ini, dia menyertai bidang nyanyian kerana minat dan tidak pernah terfikir soal populariti.

Iqbal berkata, dia lebih bersemangat untuk mencuba nasib mengetengahkan bakat dalam persaingan Ceria Popstar 2 dulu pun kerana mendapat sokongan keluarga.

Katanya, dia bertuah kerana ibu bapa memahami minatnya dan memberi sokongan padu. Namun, menyedari diri masih lagi bergelar pelajar semestinya pelajaran diutamakan.

Single Ibu cukup bermakna

Semakin menjadi perhatian peminat di laman YouTube, Iqbal juga gembira apabila single Ibu nyanyiannya mendapat 475,000 tontonan.

Katanya, dia tidak me­nyangka lagu Ibu yang dirakamkan itu diminati ramai. Sebagai penyanyi baru, Iqbal memberitahu apa yang penting dia tidak akan mensia-siakan peluang keemasan yang diberikan itu.

Menyedari tahap vokalnya masih perlu digilap, Iqbal berkata, masih banyak kekurangan perlu diper­baiki. Katanya, dia turut bercadang untuk mengikuti kelas vokal.

Berbicara mengenai penerimaan guru dan rakan di sekolah, Iqbal mengakui dia masih seperti dulu dan tiada apa yang berubah.

"Di sekolah, saya adalah seorang pelajar dan tanggungjawab adalah untuk menimba ilmu. Jadi, ia tidak sedikit pun membataskan pergaulan dengan guru mahupun rakan.

"Saya juga mengatur masa sebaik mungkin di antara pelajaran dan karier kerana kedua-duanya adalah perkara penting untuk masa depan," katanya.

Mengakui dia pasti tidak hanyut dengan populariti dikecapi, Iqbal berkata, dia sentiasa berpegang pada nasihat keluarga.

Mengulas mengenai pengikutnya yang makin ramai di laman sosial, Iqbal berkata, dia menggunakan kemudahan terkini itu secara berhemah.

Menurutnya, dia akan memuat naik aktiviti terkini untuk dikongsi bersama peminat yang setia memberi sokongan.

Katanya lagi, dia juga sedia menerima sebarang kritikan dan pandangan daripada peminatnya di laman sosial untuk memperbaiki kelemahan sedia ada.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Disember 2014 @ 5:01 AM