LAGU Harapan diakui Shaffiq padat dengan suntikan semangat.
LAGU Harapan diakui Shaffiq padat dengan suntikan semangat.
Norhayati Nordin


SUDAH sedekad menceburi kerjaya seni bermula di belakang tabir sejak 2009, semangat guru vokal dikenali Shaffiq Erwin tidak pernah pudar.

Baginya, apa sahaja peluang yang datang dia harus mencuba kerana rezeki itu hanya Allah yang tentukan dan dia kena berani.

Seiring semangat kental itu, Shaffiq akhirnya mencuba nasib bergelar penyanyi di pasaran muzik arus perdana sekitar 2016 lalu dengan menghasilkan single solo pertama berjudul Jangan Kau Jauh.

Bagaimanapun, dia akui bukan mudah langkahnya sebagai penyanyi diatur. Walaupun memiliki Ijazah Vokal dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), ia tetap berliku.

"Saya selesa bersikap positif. Bagi saya, kalau ada rezeki dalam bidang nyanyian ini, pasti tak ke mana. Sampai masa akan dimiliki juga. Lagipun, saya ada tugas tetap selaku guru vokal.

"Alhamdulillah, walaupun lagu Jangan Kau Jauh tidak ramai yang mengetahuinya, tetapi rezeki saya untuk jadi penyanyi masih ada apabila mendapat tawaran daripada Rusa Music. Saya akhirnya dapat peluang lagi untuk muncul dengan lagu solo kedua berjudul Harapan ciptaan komposer Rudy Kasmaran dan lirik ditulis oleh Abu Out," katanya.

Menurut Shaffiq, lagu Harapan itu dilancarkan pada 12 Mac tahun lalu, namun tidak dapat dipromosikan secara menyeluruh kerana penularan Covid-19.

"Sesuai dengan judul Harapan, lagu ini sangat memberi motivasi dan inspirasi kepada saya iaitu jangan sesekali berasa kecewa. Harapan akan tetap ada selagi kita tidak berhenti berusaha.

"Selain itu, saya bersyukur dapat mengharungi kehidupan dengan baik pada tahun lalu. Biarpun, Covid-19 menyerang tetapi menariknya, saya jadi lebih kreatif di dapur. Ia kerana daripada seorang yang tidak tahu mengadun kek, saya berjaya belajar membuatnya hingga kini sudah mampu menerima beberapa tempahan kek dalam seminggu.

"Dapatlah saya meneroka satu cabang baharu untuk terus menjana pendapatan. Oleh itu, saya melihat peluang sebenarnya ada di mana- mana dan kita perlu menyedarinya. Setiap orang, ada bakat masing-masing," katanya.

Berbicara mengenai lagu Harapan itu, Shaffiq berkata, dia masih meletakkan 'harapan besar' pada karya berkenaan untuk bersinar ke tahap lebih jauh lagi.

"Saya yakin rezeki lagu Harapan ini tetap ada. Bagaimanapun, semoga lagu ini mesra pendengar kerana melodi serta liriknya sangat indah. Lagu ini padat dengan suntikan semangat.

"Ketika merakamkan lagu Harapan ini pun, ia tidak memberi kesukaran kepada saya berikutan melodi dan lirik cukup dengan jiwa. Apapun, pendengar harus menilai dahulu," katanya.

Video muzik lagu Harapan yang sudah dimuat naik di YouTube kini baharu mencatat lebih 15,000 tontonan. Biarpun angka itu masih rendah tetapi dia gembira kerana kebanyakan komen diterima sangat positif.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2021 @ 6:18 AM