Oleh Norhayati Nordin


Kalau dilihat pada usianya, Erissa Puteri Hashim, 11, nyata masih mentah. Pun begitu, reaksi diri­nya yang ceria dan kepetahan ketika berbicara membuatkan dia senang didekati.

Mesra dengan panggilan Erissa, apa yang boleh dinilai mengenai keperibadian si cilik ini pastinya dia seakan sudah bersedia membina nama di pentas nyanyian.

Memiliki vokal yang lunak, Erissa cukup teruja berkongsi perasaannya apabila memperoleh peluang merakamkan single solo sulungnya, Matahari.

Apatah lagi, lagu Matahari nyanyian Erissa turut mencatat jumlah yang tinggi di YouTube iaitu sebanyak 608,000 tontonan.

Berkongsi kisahnya sejak bergelar penyanyi, Erissa berkata, dia gembira kerana bakat seninya berjaya dicung­kil di pentas program Ceria Popstar musim kedua terbitan Astro.

Katanya, minat menyanyi sejak kecil membuatkan dia mencuba nasib pada uji bakat program itu. Bahkan tidak sangka dia layak.

Mendapat bimbingan penyanyi terkenal Alyah, Erissa turut berjaya melangkah ke pentas akhir Ceria Popstar dan dia meraih tempat keempat.

Ditemui pada majlis pelancaran album kompilasi Ceria Popstar di Warner Music, baru-baru ini, nyata persembahan Erissa cukup mengagumkan.

"Saya suka menya­nyi dan semestinya akan memberikan persembahan sebaik mungkin untuk menghiburkan penonton.

"Sebagai kanak-kanak yang ada karier, saya tetap utamakan pelajaran. Meskipun ada kalanya saya tidak hadir ke sekolah.

"Setakat ini, dengan bantuan dan sokongan ibu bapa saya masih mampu mengaturkan jadual dengan baik di antara pelajaran dan nyanyian," katanya.

Mengulas penerimaan dirinya di sekolah, Erissa berkata, dia pernah dipang­gil artis dalam kalangan rakan-rakan.

"Bahkan, ada juga yang kurang menyenangi saya. Namun saya tidak hiraukan semua itu kerana diri masih lagi pelajar sekolah.

"Biarlah apa orang hendak anggap me­ngenai saya asalkan keluarga memahami dan memberi sokongan. Lagi pun, macam saya katakan, pelajaran tetap diutamakan," katanya.

Berasal dari Selangor, selain Erissa pastinya bintang Ceria Popstar yang mendapat peluang sama muncul de­ngan single sendiri ialah Masya, Iqbal, Jomego, Putri Ain dan Sheikh Basir.

Diterbit dan diedarkan Warner Music, program Ceria Popstar yang disiarkan Astro Ceria (saluran 611) berjaya mencatat rating tinggi melebihi satu juta penonton.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Disember 2014 @ 5:00 AM