Norhayati Nordin


Tahun lalu, nama Ippo Hafiz, 27, mula mencuri perhatian apabila nyanyiannya menjadi lagu tema untuk drama Teman Lelaki Upahan dan Hidayahmu Ramadan di TV3.

Kini, Ippo mengukuhkan lagi namanya apabila lima lagu ciptaan dan nyanyiannya dipilih menjadi lagu tema untuk drama Cinta Si Wedding Planner juga di TV3.

Bukan saja Ippo, pendatang baru seni suara tanah air iaitu Sandra juga bernasib baik apabila lagu Hey Kau nyanyiannya diminati ramai.

Lagu Hey Kau ciptaan komposer Tam Spider dan lirik oleh Iman Imran itu dipilih menjadi lagu tema untuk drama Cik Cinderella Dan Encik Tengku di TV3 juga drama Tersuka Tanpa Sengaja dan ditayangkan di Astro Ria.

Ia bagaikan bonus berganda buat penyanyi muda berasal dari Sabah itu, kerana lagu diketengahkan berjaya memperkenalkan Hey Kau kepada peminat.

Ditemui pada sesi fotografi Selebriti, ternyata Ippo dan Sandra berasa lega dengan pencapaian yang diperoleh. Ia memudahkan untuk perancangan seterusnya dalam karier nyanyian masing-masing.

Menjelaskan mengenai perkembangan karier, Ippo berkata, sejak tiga tahun lalu memang sudah ada beberapa lagu ciptaan dan dendangannya dijadikan lagu tema untuk drama.

“Bagaimanapun, rezeki saya lebih menyerlah pada tahun ini apabila drama Si Wedding Planner menggunakan lima lagu saya untuk lagu tema.

“Antara lagu dipilih ialah Kekal Bahagia, Ku Takkan Mampu, Ku Ingin Kamu, Hujan Sepi dan Yang Terindah,” kata Ippo yang turut aktif bekerja di belakang tabir menghasilkan skor muzik untuk drama.

Menurutnya, jika tiada aral dia akan menghasilkan album sulung dengan memuatkan semua lagu nyanyiannya yang pernah menjadi lagu tema drama.

Katanya, hingga kini ada 11 lagu ciptaan dan nyanyiannya sudah diketengahkan sebagai lagu tema drama yang kebanyakannya ditayangkan di TV3.

“Rugi rasanya jika saya tidak memuatkan semua lagu itu di dalam satu album. Ditambah, saya yakin penerimaan baik pendengar.

“Selain itu, melalui album sulung ini akan membantu peminat mengenali saya dengan lebih dekat,” katanya.

Ippo atau nama sebenar Muhammad Hafiz Yaziz berkata, berbanding dirinya lagu dinyanyikan lebih popular dan menjadi perhatian pendengar.

“Sebenarnya, kebanyakan peminat yang mendengar lagu nyanyian saya selalu beranggapan Ippo Hafiz ialah penyanyi dari negara jiran Indonesia.

“Ini kerana, vokal saya yang didakwa lebih mirip penyanyi dari Indonesia. Hakikatnya, saya adalah anak jati Malaysia.

“Apapun, bukan mudah untuk saya membina nama serta mengembangkan bakat dalam penciptaan lagu dan nyanyian. Ini kerana, cita-cita saya pernah dihalang keluarga.

“Ketika saya memberitahu ibu bapa mahu melanjutkan pengajian dalam bidang muzik, mereka membenarkan tetapi kos pembiayaan saya perlu sediakan sendiri,” katanya.

Ippo yang sudah aktif dalam penciptaan lagu sejak 2009 sama sekali tidak menyangka bakat seninya terserlah sejauh ini. Ujarnya, mungkin apa yang diperoleh sekarang berkat kesabaran dan tidak pernah berputus asa.

Semakin mendapat kepercayaan daripada pengarah dan penerbit untuk menghasilkan lagu tema drama, Ippo berkata, sebelum berada pada tahap sekarang, hasil karyanya juga pernah ditolak.

Namun, enggan cepat berputus asa dia gigih memperbaiki apa yang kurang, katanya, dia percaya kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa usaha.

Ditanya bagaimana dia mendapat ilham untuk menghasilkan lagu tema drama, Ippo berkata, melalui plot cerita diberi selalunya membolehkan dia mendapat gambaran untuk mencipta lagu sesuai.

Sandra makin yakin

Tiada apa mampu diungkap Sandra selain rasa bersyukur tak terhingga atas rezeki dikurniakan Allah. Rezeki sekelip mata diperoleh, diakui sesuatu yang sangat dihargai.

Meskipun pernah gagal untuk bergelar protege Dayang Nurfaizah dalam rancangan realiti pencarian bakat Mentor Legend, nampaknya kelukaan itu kian terubat apabila Hey Kau berjaya melonjakkan nama Sandra.

Kini, bukan hanya mendapat tempat dalam kalangan peminat muzik tempatan, malah lagu Hey Kau juga sudah mengembangkan sayap ke Indonesia.

Sandra atau nama sebenarnya Alessandra Dianne Ampuria, 22, sudah dilamar syarikat rakaman Indonesia, Watsu Art Production untuk mengembangkan karier nyanyiannya di sana.

Mengharapkan perjalanan karier nyanyiannya makin menyerlah, katanya dia makin yakin untuk terus berusaha memantapkan nama dan bakatnya.

Sandra yang kini sudah menghasilkan single kedua, Ku Tak Mahu Cinta ciptaan Ammar Habir dan lirik, Shana Razman berkata, dia mengharapkan lagu itu diterima baik peminat.

Katanya, dia akan meneruskan kelangsungan populariti diraih Hey Kau sebelum ini dan sekali gus meletakkan dia antara penyanyi baru yang mampu pergi jauh.

“Jika Hey Kau berjaya membawa perjalanan karier nyanyian saya sejauh yang tidak diduga, harapan sama saya letakkan pada single terbaru ini.

“Saya suka dengan single kedua ini kerana terpikat dengan melodi muziknya. Lagu ini turut memuatkan eleman reggae yang kena dengan jiwa saya,” katanya.

Tidak gentar berhadapan saingan, Sandra berkata dia percaya setiap penyanyi ada kelebihan masing-masing. Apa pun, mendapatkan karya yang bagus sangat penting.

Mengakui jika ada peluang dia masih mahu bekerjasama dengan Tam dan Iman Imran, anak jati Tuaran, Sabah ini berkata, dalam waktu sama dia juga harus bersedia untuk menjalin kerjasama dengan komposer lain.

“Secara kebetulan, lagu ciptaan Ammar ini kena dengan jiwa saya. Sebaik saja mendengarkan melodinya, saya terus terpikat untuk merakamkannya.

“Sehebat mana penangan lagu Hey Kau begitu juga yang saya harapkan dengan lagu Ku Tak Mahu Cinta. Semoga ia dapat memberi impak besar kepada peminat yang menyokong saya,” katanya.

Menyimpan impian untuk lagu Ku Tak Mahu Cinta juga dipilih menjadi lagu tema drama, Sandra berkata semoga ada penerbit drama yang berminat.

Mengakui jadual aktiviti seninya kini padat, Sandra yang juga anak kedua daripada empat beradik gembira dengan aturan kerjaya yang dibuat syarikat pengurusan Indigital Sdn Bhd.

Ujarnya, syarikat pengurusan dinaungi itu sangat efektif dalam usaha membantu karier nyanyiannya agar mendapat perhatian di negara ini mahu pun negara jiran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2016 @ 5:03 AM