Oleh Norhayati Nordin


Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Itulah yang boleh diungkapkan dengan rezeki yang kini diraih tujuh peserta program pencarian bakat nya­nyian kanak-kanak dan remaja, Ceria Popstar.

Program musim kedua Ceria Popstar terbitan Astro yang berlangsung sekitar Mei hingga Jun lalu itu akhirnya menobatkan Siti Nur Masyitah Mohd Yusoff atau Masya, 14, dari Kulim, Kedah, sebagai juara.

Diikuti Ahmad Iqbal Baqi Omar Baqi (Iqbal), 15, juga dari Kedah sebagai naib juara dan ketiga pula kumpulan duo, Jomego dianggotai Rusyhazim Isnawi Mohd Noor (Goofy), 15, dan Muhammad Shahrul Ashlyn Ag Ashrul Affandy (Chubby), 15.

Tempat keempat diraih Erissa Puteri Hashim, 11, (Erissa, Selangor), seterusnya Putri Ain Natasha Abdul Malek, 14, (Putri, Negeri Sembilan) dan Sheikh Abdul Baseer Afendi, 12, (Sheikh, Johor).

Sehubungan itu, semua peserta terpilih Ceria Popstar 2 berkenaan mendapat peluang untuk merakamkan single yang kini begitu menjadi perhatian peminat di laman YouTube.

Masya yang juga anak didik Hazama muncul mempertaruhkan single Teman Bintang yang mendapat tontonan di YouTube melebihi 930,000 orang.

Begitu juga Jomego menerusi single Kau Boleh Buat mencatat 700,000 tontonan diikuti Erissa dengan Matahari sebanyak 608,000 tontonan.

Tidak ketinggalan, Iqbal yang tampil dengan single Ibu yang mendapat 475,000 tontonan, Putri dengan lagu Di langit Awan Biru (332,000 tontonan) dan Sheikh Baseer menerusi Doa Untuk Kita (245,000 tontonan).

Sudah berada di pasaran sejak beberapa bulan lalu, kelmarin bertempat di syarikat rakaman Warner Music (M) Sdn Bhd diadakan majlis pelancaran album kompilasi Ceria Popstar itu.

Ternyata semua peserta yang mendapat peluang merakamkan lagu ini memiliki mutu vokal yang mantap. Nyanyian mereka nyata tidak menghampakan.

Berbicara mengenai populariti yang diraih mereka pada usia muda iaitu ketika di bangku sekolah lagi, Putri berkata, walau apapun pelajaran adalah keutamaan mereka.

"Dalam soal ini, saya mahupun rakan yang lain perlu bijak mengatur jadual antara pelajaran serta aktiviti seni.

"Bagaimanapun, buat masa ini kami masih dapat mengatur jadual dengan baik. Bahkan, ibu bapa juga banyak membantu.

"Setakat ini, saya tidak berdepan masalah besar dalam pelajaran. Cuma, ada kalanya tidak datang ke sekolah saja," katanya.

Menurut Putri, meskipun tidak hadir ke sekolah, ini tidak bermakna dia tidak menitikberatkan pelajaran. Kata­nya, menimba ilmu penting untuk masa depan.

Bagi Sheikh Baseer pula, untuk memantapkan pembelajarannya, dia turut dihantar mengikuti kelas tuisyen oleh ibu bapanya.

Baru selesai menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Sheikh Baseer berkata, dia sudah mencuba yang terbaik.

Ujarnya, untuk keputusan yang akan diperoleh, dia menyerahkan pada ketentuan Tuhan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 November 2014 @ 5:00 AM