AMAN Ra teguh dengan gaya tersendiri.
AMAN Ra teguh dengan gaya tersendiri.
Georgie Joseph


Sejak tampil dengan lagu berjudul Budak Flat tahun lalu, penyanyi rap Aman Ra semakin dikenali dalam aliran muzik arus perdana.

Penyanyi ini memiliki cara tersendiri untuk meletakkan namanya sebaris penyanyi rap popular yang lain.

Mungkin ramai tidak tahu Aman sebenarnya memulakan kerjaya profesional sebagai penyanyi rap sejak 2006.

Bagaimanapun, namanya mengambil masa agak lama untuk dikenali.

“Saya mula mendapat bayaran secara profesional dalam bidang ini 11 tahun lalu. Sejak itu, saya terus berkarya dan menjadi penggiat rap tegar.

“Saya akui nama agak lambat dikenali, tetapi dalam komuniti rap saya ada pengikut sendiri. Saya bersyukur kerana sehingga kini mereka masih menyokong saya,” katanya.

Aman yang sudah melancarkan single terbarunya berjudul Ye Dowh berkata, dia tidak suka meletakkan formula kepada karyanya hanya kerana mahu memenuhi kehendak pasaran arus perdana.

Menurutnya, dia lebih suka menggunakan pendekatannya sendiri dalam menghasilkan lagu seiring dengan prinsip diri.

“Saya tidak suka menggunakan formula tertentu apabila menulis lagu sebaliknya saya berkarya mengikut gaya sendiri.

“Bagi saya, gaya sendiri sangat penting untuk kepuasan selain keikhlasan itu lebih dirasai. Seperti lagu Budak Flat, ia mendapat sambutan berdasarkan ceritanya yang boleh dikaitkan dengan sesetengah orang. Rata-rata pengikut saya tinggal di flat dan mereka faham mesej lagu saya,” katanya.

Bermula dengan bergerak secara underground, Aman mengakui dia tidak melihat berada dalam arus perdana penting buat pemuzik.

Sebaliknya, dia percaya mana-mana penyanyi terutama daripada genre rap boleh maju dengan adanya kuasa media sosial sekarang.

“Media sosial sekarang sangat membantu walaupun seseorang penyanyi itu tidak dikenali dalam arus perdana.

“Yang penting, kita kena bijak memanfaatkan sosial media dan sentiasa teguh dengan perjuangan. Lama-kelamaan pengikut pastinya bertambah apabila muzik yang kita berikan berkualiti,” katanya.

Bakal tampil dengan album penuh tidak lama lagi, Aman juga tidak bimbang dengan isu album kurang terjual kebelakangan ini.

Menurutnya, dia yakin masih ada peminat yang pastinya menghargai album.

“Kena ada keyakinan untuk hasilkan album. Itulah yang menjadi nadi kepada seseorang penyanyi. Lagipun banyak platform digital sekarang untuk menjual album,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2018 @ 1:07 PM