SABRINA Orial sentiasa menggali ilmu bagi memantapkan persembahan.
SABRINA Orial sentiasa menggali ilmu bagi memantapkan persembahan.
Oleh Georgie Joseph


Kebangkitan penyanyi akustik kebelakangan ini makin dirasai apabila kian menyerlah di arus perdana.

Tidak dinafikan, fenomena yang dicetuskan Ed Sheeran dan Jason Mraz membuktikan muzik akustik punya pengikut tersendiri. Ia sekali gus menjadi inspirasi kepada ramai anak muda untuk tampil sebagai penyanyi akustik.

Bintang kelahiran Filipina, Sabrina Orial, 25, antara pelopor yang berjaya mecipta nama. Memulakan karier nyanyian pada usia 17 tahun, Sabrina banyak menyanyikan lagu saduran dengan gaya tersendiri, unik serta mengasyikkan.

Meskipun penyanyi akustik muncul bagaikan cendawan selepas hujan, Sabrina sedikit pun tidak berasa tergugat, malah menganggap ia persaingan yang sihat.

Fokusnya cuma satu iaitu memperbaiki mutu persembahan dari semasa ke semasa.

“Saya cintakan kerjaya ini dan gembira setiap kali dapat buat yang terbaik.

“Kehadiran ramai penyanyi akustik muda membakar semangat saya untuk buat lebih bagus. Saya mahu hasilkan karya yang terbaik dan melekat di jiwa pendengar,” katanya.

Sebelum menyanyikan lagu akustik, Sabrina pernah menghasilkan album pop. Biarpun genre pop lebih besar pengaruhnya, bagi penyanyi ini akustik lebih sesuai untuk dirinya.

Justeru itu dia tidak teragak-agak setia dengan genre itu hingga ke hari ini, malah berpuas hati dengan pilihannya.

“Sebelum album I Love Acoustic dilancarkan, saya pernah menghasilkan album pop yang diselitkan lagu berentak bossa nova.

“Ketika itu saya berusia 17 tahun dan Universal Muzik Filipina mahu saya ketengahkan konsep yang lebih sesuai dengan usia saya.

“Kebetulan, saya belajar main gitar dan apabila pe–ngurusan tahu mereka minta hantar demo nyanyian akustik. Ternyata mereka suka dan mahu saya kekal menyanyikan lagu akustik.

“Percubaan itu menjadi dan saya berasa sangat berpuas hati,” katanya.

Setiap kali beraksi di atas pentas Sabrina pasti tidak berenggang dengan gitarnya. Namun, penyanyi ini mengakui tidak kekok sekiranya menyanyi tanpa memetik gitar.

“Apabila menjayakan persembahan saya pastikan ada lagu yang dinyanyikan tanpa gitar kerana mahukan kepelbagaian.

“Saya turut menari dan sesekali turun ke bawah pentas untuk mendekati penonton. Sebagai penghibur saya kena pandai ambil hati peminat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2015 @ 5:01 AM