Taj bersama Ashmeer di Balai Polis Mutiara Damansara berhubung laporan polis dibuat Farid Kamil. FOTO NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
Taj bersama Ashmeer di Balai Polis Mutiara Damansara berhubung laporan polis dibuat Farid Kamil. FOTO NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
Najiy Jefri & Nurul Hidayah Bahaudin


BEKAS anggota kumpulan Innuendo, Taj atau nama sebenarnya Ahmad Tajuddin Mohamed Tahir disahkan negatif dadah.

Keputusan itu diperolehi semalam selepas Taj dipanggil untuk memberi keterangan di Balai Polis Mutiara Damansara, Petaling Jaya berhubung dakwaan Datuk Farid Kamil terdapat pihak yang memasukkan dadah ke dalam minuman tanpa pengetahuannya.

Taj dihubungi berkata, dia bersyukur proses siasatan selama dua jam berjalan baik dengan ditemani dua peguamnya Mohamed Ashmeer Mohamed Ashrof Raja dan Muhamad Akmal Arif Shamsul Kahar.

“Alhamdulillah proses siasatan semalam berjalan dengan baik. Saya memberikan sepenuh komitmen kepada pihak polis bagi membantu siasatan ini.

“Malah ujian air kencing yang dijalankan semalam juga mendapati saya negatif,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya sudah membuat ujian saringan air kencing terhadap Taj.

“Sebaik selesai memberi keterangan di Balai Polis Mutiara Damansara, dia diminta pergi ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk menjalani ujian saringan air kencing.

“Hasil ujian saringan air kencing dibuat, dia didapati negatif dadah,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, pihaknya sedang melengkapkan laporan berhubung kes berkenaan untuk tindakan lanjut.

“Walaupun keterangan daripada keempat-empat saksi sudah diambil, namun kami masih menunggu laporan lengkap berhubung kes itu dengan merujuk semula keterangan mereka.

“Sebaik laporan lengkap, kami akan merujuk perkara itu kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sebelum ini, Farid membuat laporan polis mendakwa tiga rakan artis memasukkan bahan terlarang ke dalam minumannya sehingga mendorong dia bertindak ganas dalam sebuah balai polis, bulan lalu.

Dia turut mendakwa diberikan rokok yang sudah disapu dengan minyak dipercayai daripada bahan dadah.

Pendedahan itu membawa kepada penahanan pelakon, Sofi Jikan, 48, yang didapati positif dadah ketika hadir memberi keterangan berhubung kes itu di Balai Polis Mutiaara Damansara, di sini, pada 6 Febuari lalu.

Selain Sofi dan Taj, penyanyi kumpulan nasyid, Firdaus iaitu Ahmad Fairuz Ahmad Rosli, 47, atau Osh turut dipanggil memberi keterangan dan didapati negatif dadah selepas dikatakan menganiaya Farid.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2018 @ 4:22 PM