SOFI Jikan, dibawa ke Mahkamah oleh pihak Polis untuk mendapatkan tahanan remam setelah didapati positif dadah jenis ganja di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
SOFI Jikan, dibawa ke Mahkamah oleh pihak Polis untuk mendapatkan tahanan remam setelah didapati positif dadah jenis ganja di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Mohd Azam Shah Yaacob dan Safeek Affendi Razali


POLIS akan menjalankan prosedur sama ke atas dua lagi artis yang sudah dipanggil bagi memberikan keterangan berhubung laporan yang dibuat oleh pelakon Datuk Farid Kamil.

Kedua-dua mereka berusia 40-an dan masing-masing adalah ahli kumpulan nasyid dan anggota sebuah kumpulan R&B yang popular sekitar 90-an, sudah dimaklumkan akan diambil keterangan sejak beberapa hari lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata pihaknya akan menjalankan ujian air kencing ke atas kedua-dua mereka sekiranya perlu.

"Sama seperti prosedur yang dilakukan ke atas pelakon Sofi Jikan yang ditahan malam semalam, kita akan lakukan pemeriksaan air kencing.

"Pada masa ini pihak kami masih lagi menunggu kehadiran mereka bagi melengkapkan siasatan," katanya ketika dihubungi petang tadi.

Malam semalam, Sofi Jikan atau Mohamad Shoffi Jikan, 48, ditahan di Balai Polis Mutiara Damansara pada 11 malam, selepas hadir memberi keterangan berhubung laporan polis yang dibuat Datuk Farid Kamil pada 31 Januari lalu.

Sebaik percakapannya dirakamkan, pihak polis kemudian turut menjalankan ujian air kencing terhadap pelakon itu dan mendapati dia positif mengambil dadah jenis ganja.

Pada 31 Januari lalu, Farid Kamil mengadu bahawa tiga rakan artis memasukkan dadah ke dalam minuman tanpa pengetahuannya yang menjadi punca dia bertindak ganas ketika di Balai Polis Kota Damansara pada 11 Januari.

Dalam kejadian itu, Farid didakwa menampar anggota polis trafik serta orang awam yang membawanya ke balai berkenaan.

Berita berkaitan

'Kasi sengat' kena reman [METROTV]

Dua lagi dikenal pasti selepas Sofi Jikan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2018 @ 9:08 PM