Elvina kesal gambarnya ketika bercuti bersama kawan-kawan tersebar. FOTO Arkib NSTP.
Elvina kesal gambarnya ketika bercuti bersama kawan-kawan tersebar. FOTO Arkib NSTP.
Rudy Imran Shamsudin


PELAKON Elvina Mohamad, 23, memohon maaf apabila gambarnya berpakaian seksi sewaktu bercuti di Langkawi baru-baru ini, tersebar di laman sosial.

Katanya, dia kesal dengan tindakannya itu dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

“Gambar itu sebenarnya untuk koleksi peribadi dan saya hanya memuat naik gambar sepanjang percutian sempena sambutan tahun baru itu di laman instagram peribadi.

“Tidak sangka ada antara kenalan yang tidak bertanggungjawab mencurinya dari laman instagram peribadi saya itu dan memberikan kepada blogger,” katanya kepada Harian Metro.

Pelakon Shh! I Love You itu akui perkara itu menjadi kecoh hingga ramai pihak berasa kurang senang sebaik sahaja blogger terbabit memuat naik gambar itu.

Katanya, apa yang berlaku tidak sepatutnya menjadi isu kerana ia gambar peribadi dan pakaiannya juga sesuai untuk dipakai ketika di pantai.

“Bagaimanapun sebagai artis, saya sedar mempunyai tanggung jawab sosial. Apabila ramai pihak berasa kurang senang, sudah tentu saya sedikit sebanyak berasa bersalah.

“Tambah pula sewaktu gambar itu dimuat naik blogger terbabit, ia turut mengaitkan stesen TV. Saya rasa bersalah atas perkara itu. Dengan rendah hati, saya memohon maaf,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2018 @ 5:17 PM