SETIAP tiga bulan artis lama dan baru MIG Talent berjamu dan bermesra.
SETIAP tiga bulan artis lama dan baru MIG Talent berjamu dan bermesra.
Amirul Haswendy Ashari.


Gulai ayam, nasi ayam penyet, piza, soto, buah-buahan dan air teh kundur antara juadah sesi ‘potluck’ barisan artis yang bernaung bawah pengurusan MIG Talent, Selasa lalu.

Berlangsung dalam suasana santai dan mesra, artis baru dan lama pengurusan itu berkumpul di pejabat Metrowealth sebagai aktiviti wajib mereka. Boleh dikatakan, hampir setiap dua atau tiga bulan sekali mereka berkumpul untuk berkenalan dan berkongsi cerita.

“Aktiviti ini diadakan bagi merapatkan hubungan artis baru dan lama.

“Kalau bukan ‘potluck’, kadangkala bos (David Teoh) akan belanja kami makan di luar,” kata pelakon kelahiran Indonesia, Refika Novianti Faturohman, 29, atau Vicha yang sudah empat tahun bersama pengurusan itu.

Katanya, aktiviti ini menarik kerana dapat mendengar cerita terbaru rakan-rakan. Selain itu, ia juga dilihat sebagai cara terbaik memastikan kelangsungan kerjayanya sejak berada bawah syarikat berkenaan.

Anggota kumpulan lawak Saywho itu berkata, suasana yang wujud antara mereka ibarat keluarga besar yang menerapkan nilai-nilai bahagia.

Selain bertindak sebagai pengacara santai belakang tabir pada program hiburan Gegar Vaganza, Vicha bakal muncul dengan drama Toyol Ke London untuk siaran Astro.

Sementara itu, jejaka kelahiran Pahang, Fahmy Reza, 26, berkata, walaupun sederhana aktiviti ini sangat bermakna kerana tidak mudah semua artis MIG Talent dapat berkumpul berikutan sibuk dengan komitmen masing-masing.

“Apabila berkumpul, kami dapat berbual dan berbincang mengenai banyak perkara. Kami dapat kenal hati budi masing-masing selain bebas meluahkan perasaan serta pendapat.

“Aktiviti ini patut diteruskan kerana banyak manfaatnya seperti berkongsi rezeki serta idea segar bagi memajukan MIG bersama,” katanya.

Selain aktiviti ini, dia juga bersetuju jika MIG menganjurkan banyak lagi aktiviti seperti kelas lakonan, pembentukan imej, media sosial dan teknik berkomunikasi.

Katanya, melalui aktiviti itu pelakon dapat mengenal diri dan mencungkil lagi bakat mereka untuk terus kekal bersaing dalam industri.

Perkembangan terbaru, Fahmy baru sahaja muncul dengan drama Kerna Syurga Bukan Percuma memegang watak sebagai Aiman di slot Raihana saluran Astro Oasis. Dia juga membintangi drama Bakal Suami Akan Datang dan Calon Menantu Bapak di saluran Hypp Flicks Plus.

Pelakon yang mula dikenali menerusi filem Aku Tak Bodoh, Aizat Hassan, 25 mengakui seronok dapat bertemu rakan-rakan yang baru menyertai keluarga besar itu dan artis senior yang jarang dapat berjumpa.

“Masing-masing ada kehidupan dan komitmen, jadi dengan adanya aktiviti ‘potluck’ dapatlah kami berkumpul.

“Kami bukan sembang kosong kerana ada juga sesi ‘ice breaking’ dan perkongsian cerita mengenai industri, baik buruk media sosial dan sebagainya,” kata Aizat.

Paling penting, kata Aizat, dapat mengeratkan lagi hubungan antara pegawai atasan dan pihak pengurusan artis. Aizat bakal muncul dalam drama Kisah Yang Hilang untuk slot Seramedi TV3, bulan ini.

David yang juga Ketua Pengarah Urusan MIG, pula berpendapat aktiviti ini dapat memupuk semangat artis untuk lebih bersedia dalam kerjaya seni.

“Saya akan beri motivasi supaya mereka sedar diri dan ruang mengenai apa yang berlaku dalam industri hiburan tanah air.

“Saya selalu ingatkan mereka jangan asyik tunggu peluang datang, sebaliknya sentiasa mencari peluang dan rajin bertemu dengan media serta orang penting dalam industri,” katanya.

Tegasnya, bakat seni tidak bersandar pada rupa semata-mata. Tidak kira kurus, gemuk, tinggi atau rendah, selagi mempunyai kualiti yang baik untuk industri, peluang anak seni pasti cerah.

Katanya, apabila media digital mula menguasai industri, artis MIG Talent perlu bekerja lebih keras. Situasi hari ini berbeza dengan satu ketika dulu di mana pelakon hanya perlukan satu atau dua filem untuk popular.

“Dulu senang sebab tawaran sangat banyak. Sekarang, tawaran tidak lagi sehebat dulu. Sebab itulah mereka perlu bekerja lebih keras untuk pastikan khalayak industri mengenali mereka.

“Sebagai contoh, Vicha dan Fahmy ketika baru masuk dalam industri, mereka agak ‘kayu’ tapi lihatlah mereka sekarang,” katanya memuji sikap beberapa artis baru syarikatnya yang diterima baik industri.

Selain memberi kelas asas lakonan kepada bakat baru dan lama yang menyertai pengurusannya, David juga memberi peluang kepada mereka meluaskan bakat dalam bidang pengacaraan.

Laku Mall platform pengusaha IKS

MIG yang baru sahaja melancarkan saluran beli-belah dalam talian iaitu Laku Mall hampir dua bulan lalu menerusi Hypp TV, mahu memperluaskan penyiarannya ke seluruh Asia Tenggara dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang.

Antara negara kini dalam perancangan ialah Indonesia, Filipina, Vietnam dan Thailand.

“Saya mahu buka peluang kepada pengusaha IKS untuk meletakkan produk mereka dalam saluran ini tanpa sebarang bayaran iklan atau promosi.

“Kami menggunakan konsep perkongsian keuntungan. Fokus kami adalah produk tradisional tempatan seperti keropok lekor, belacan, muruku dan lain-lain,” kata David.

Menurutnya, ini cara terbaik untuk membantu pengusaha IKS memasarkan produk secara lebih meluas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2017 @ 1:13 PM