ALONG bersama isteri, Zila dan anak mereka Ahmad Danial.
ALONG bersama isteri, Zila dan anak mereka Ahmad Danial.
Oleh Rudy Imran Shamsudin


Pengalaman sepanjang bernaung di bawah pengurusan MIG Talent selama empat tahun membolehkan Along Cham, 32, berdikari dan membina kerjaya sendiri.

Selepas dua tahun tidak menyambung kontrak, Along atau Muhammad Nizamuddin Ahmad kembali mengorak langkah mengukuhkan namanya sebagai pelawak serba-boleh di televisyen.

Kata Along, sewaktu bernaung di bawah pengurusan MIG dia hanya menandatangani kontrak untuk filem dihasilkan MIG Pictures sementara untuk pengacaraan dan lawak pentas semuanya diuruskan sendiri.

“Saya dan David tidak ada masalah. Tiada masalah keputusan dibuat untuk tidak menyambung kontrak, David pesan pada saya jika usaha saya untuk berdikari tidak berjaya, dia suruh saya kembali bekerja dengannya,” katanya.

Pelawak yang dicungkil bakatnya menerusi program realiti Raja Lawak musim kedua itu berkata, sepanjang empat tahun menumpukan perhatian kepada projek filem yang tidak pernah putus, landasannya sebagai bintang televisyen semakin hilang.

“Peminat sendiri memberi cadangan supaya saya kembali berkecimpung sebagai pelawak di pentas. Saya memang mahu mencuba dan dalam tempoh percubaan itu banyak juga jatuh bangunnya.

“Hendak diikutkan saya pun bukan suka-suka meninggalkan MIG. Kebetulan peluang dibuka Astro Warna dengan menawarkan saya menyertai program Super Spontan.

“Bagaimanapun saya hanya berjaya sampai separuh akhir, kemudian saya masuk Maharaja Lawak 2013 bersama Didie Alias dan Soya. Kami hanya berjaya sampai minggu kedua.

“Saya gunakan dua program terbabit sebagai lapangan mengasah bakat. Ternyata ia memberi impak dan Astro menawarkan saya mengendalikan beberapa lagi program seperti Kuali Terbalik. Ia mendapat sambutan dengan jumlah tontonan tinggi.

“Kemudian saya menjayakan Warung Angah hinggalah saya mengendalikan Hevoc Warna bersama Datuk AC,” katanya.

Cerita Along, apabila kembali di televisyen dan bersaing dengan pelawak lain beraksi sebagai pelawak pentas, dia berasakan tugas itu sangat berat.

“Mereka sudah biasa sedangkan saya sebelum ini bekerja berdasarkan skrip. Saya ambil masa untuk membiasakan diri dan

korek balik ilmu lama waktu saya mula-mula terbabit sebagai pelawak pada 2008 dan ilmu baru kemudian cantumkan,” katanya.

Along juga akui tidak terkilan atau takut meninggalkan kedudukan selesa sewaktu bernaung di bawah MIG yang kerja menunggunya dan tidak perlu bersusah payah menagih kerja dengan produksi keliling.

“Ramai sebenarnya rakan artis berpendapat begitu. Mereka terkejut apabila saya cuba melawan arus. Begitupun saya menganggap MIG sebagai akademi untuk belajar.

“Sepanjang tempoh empat tahun itu, ada yang bagus dan ada yang tidak. Namun itulah perjalanan hidup yang membuat­kan saya menimba pelbagai pengalaman. Banyak kesilapan sendiri yang saya nampak dan lihat apabila bergerak sendiri,” katanya.

Mengenai sambutan raya tahun ini, Along membuat keputusan pulang ke kampung ayahnya di Kedah bersama isteri, Zila Seron dan anak mereka, Ahmad Danial, 4.

Katanya, ayahnya orang Kedah dan ibunya asal dan menetap di Johor. Awal Ramadan lalu, mereka kehilangan datuk (sebelah bapa) jadi semua ahli keluarga membuat cadangan tahun ini mahu berkumpul di sana.

“Saya pula selalunya kalau setiap hari raya akan beraya di kampung mentua terlebih dulu di Negeri Sembilan. Di Johor pula akan beraya pada Syawal ketiga.

“Sebabnya kebanyakan adik-beradik, saudara mara akan beraya bersama keluarga mentua masing-masing sebelum pulang ke Johor. Bagi keluarga saya, raya ketiga paling meriah untuk sambut Syawal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2015 @ 5:00 AM