Hari ini 10 Syawal, tentunya yang beraya di kampung sudah balik ke kota untuk kembali bertugas tetapi mood raya masih ada kerana Aidilfitri disambut sebulan sebagaimana kebiasaan.

Apabila pulang ke kampung, seperti biasa kesesakan di lebuh raya pasti berlaku tetapi tahun ini kepulangan warga kota ke kampung berperingkat-peringkat dan kembali ke kota juga berperingkat.

Ada yang awal memulakan tugas pada Isnin kemudian menjelang sekolah dibuka pada Rabu dan ada mengambil peluang bercuti panjang.

Tapi tahun ini kemeriahan agak sedikit berbeza memandangkan situasi semasa yang berlaku kepada kita. Dengan ekonomi sedikit goyah menyebabkan kos sara hidup semakin tinggi dan menambahkan beban ditanggung.

Bagaimanapun raya tetap raya. Balik kampung tetap diteruskan kerana kemeriahan sebenar Aidilfitri ialah berkumpul dengan sanak saudara dan sahabat handai dari jauh dan dekat, menjamu selera dan bermaaf-maafan.

Memang mencabar keadaan yang kita lalui tetapi apa yang boleh kita lakukan, bijak berbelanja dan rancang kewangan dengan baik.

Jangan membazir dan berjimat cermat adalah amalan murni tapi tidak perlu sampai pendek akal memberi saranan supaya tidak pulang ke kampung berhari raya.

Berbual dengan produser Metrowealth Pictures (MIG), David Teo menjelang raya baru-baru ini, beliau mengakui keadaan industri filem juga jauh berbeza dan turut menjejaskan produksinya. Kalau sebelum ini filem-filem terbitannya mencatat kutipan paling kurang RM1 juta tetapi kini jauh sekali.

Ini jelas daripada jumlah sangat kecil yang diterima daripada insentif rebat cukai diberikan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) pada 14 Julai lalu bagi menyokong industri filem tempatan.

Melalui skim ini, filem cereka meraih jualan tiket sehingga RM2 juta, layak menerima bayaran insentif RM200,000 manakala filem yang mencatat jualan tiket antara RM2 juta dan RM4 juta, layak menerima bayaran insentif 10 peratus daripada nilai jualan tiket.

Apa pun, konsep berkongsi rezeki sebagaimana diamalkan sebelum ini masih diteruskan tetapi dalam konteks berbeza juga, berjimat dan berhemat. Kalau sebelum ini duit raya RM300 seorang, kali ini RM100 seorang. Kalau sebelum ini diraikan di hotel lima bintang, sekarang di pejabat dengan makanan dari katering.

Konsep bersedekah juga tidak dilupakan dalam meringankan beban mereka yang susah seperti ibu tunggal dan anak-anak yatim dengan berbuka puasa bersama dan pemberian sumbangan raya.

Begitu juga untuk kakitangannya, tetap tidak dilupakan dengan majlis berbuka puasa di pejabat hampir saban hari. Malah kemeriahan dan kemesraan keluarga besar MIG tetap terpelihara dalam majlis pra-raya yang diadakan di pejabat MIG di Petaling Jaya pada 13 Julai lalu. Mereka bercuti dari Rabu hingga Ahad.

Wajah ceria kakitangan MIG majoritinya anak-anak muda Melayu jelas terserlah menerima duit raya daripada bos mereka. Ia turut dihadiri artis popular MIG Talent, Farid Kamil, Atikah Suhaime dan Nina Iskandar bersama artis baru serta pengarah Eyra Rahman, Rosli Mohd Taid dan Hashim Rejab.

Sebagai orang bisnes, David masih menaruh harapan 2016 akan memberi sinar baru kepada industri filem. Malah MIG juga terus gigih menerbitkan 15 filem sepanjang tahun ini.

Filem Suamiku Jatuh Dari Langit yang ditayangkan di pawagam sejak 16 Julai lalu diharapkan memberi sinar harapan untuk mencatat kutipan tinggi.

Apatah lagi ia ditayangkan di 55 panggung seluruh negara ketika cuti perayaan dan filem arahan Eyra Rahman dan dibintangi Nora Danish ini sesuai ditonton seisi keluarga.

Suamiku Jatuh Dari Langit berentap dengan Gangster Rock arahan sulung Soffi Jikan yang mungkin menjadi tarikan kepada anak-anak muda.

Selepas ini, empat lagi filem terbitan MIG akan ditayangkan menjelang 2016 iaitu Badi pada 15 Oktober, Banglo Berkunci (26 November), Keranda Tok Wan Terbang (10 Disember) dan Isteri Untuk Dijual belum mendapat tarikh tayangan.

Sepanjang November dan Disember ini, biasanya dua filem ditayangkan seminggu tetapi dengan keadaan pasaran yang agak parah sekarang, mungkin satu filem seminggu sudah memadai.

Hakikatnya, MIG antara produksi yang terus berjuang dalam industri menghasilkan filem demi filem sejak 2000. Produksi lain ada yang mengambil sikap sangat berhati-hati dan ada juga produser baru memberanikan diri menghasilkan filem.

Dengan barisan pelakon di bawah MIG Talent dan pengarah muda di bawah Skim Pengarah Muda, MIG mampu terus menghasilkan filem walaupun dalam keadaan pasaran tenat.

MIG kini memiliki Nora Danish dan Farid Kamil dalam senarai pelakon kelas A, pelakon muda seperti Atikah Suhaime, Nina Iskandar, Adibah Yunus serta barisan pelakon pelapis.

Dua artisnya, Shaheizy Sam dan Yana Samsudin tidak menyambung kontrak manakala Daler Yusuf sempat bersama MIG selama empat bulan. Kata David, pihaknya melepaskan Daler kerana tidak mahu mengambil risiko apabila pelakon kelahiran Kazakhstan itu tidak mempunyai permit kerja, hanya ada permit pelajar dan ini tidak membolehkannya bekerja sebagai pelakon atau model.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2015 @ 5:03 AM