DAVID dan isteri, Jane Lim (tengah) bagaikan ayah dan ibu kepada artis-artis MIG Talent.
DAVID dan isteri, Jane Lim (tengah) bagaikan ayah dan ibu kepada artis-artis MIG Talent.
DARI kiri, Atikah, Natasha, Vicha, Fiella, Afiera, Syerinie, Dania, Dayang, Nina, Ernie, Emily, Carolina dan Serina mesra umpama keluarga besar.
DARI kiri, Atikah, Natasha, Vicha, Fiella, Afiera, Syerinie, Dania, Dayang, Nina, Ernie, Emily, Carolina dan Serina mesra umpama keluarga besar.
Oleh Amirul Haswendy Ashari


Berdasarkan 12 zodiak mengikut kepercayaan masyarakat Cina di Malaysia, sambutan tahun baru Cina yang diraikan esok, jatuh dalam zodiak monyet api.

Tahun monyet api dipercayai membawa prospek pengembangan pada kehidupan sedia ada asalkan optimis dan fokus pada tujuan asal.

Definisi inilah dilihat cuba dilakukan barisan pelakon baru dan sedang meningkat naik di bawah pengurusan MIG Talent untuk meneruskan cabaran dalam industri seni.

Selebriti Metro Ahad juga menyaksikan kemeriahan Metrowealth International Group (MIG) meraikan kakitangan dan artis di bawah pengurusan MIG Talent sempena sambutan Tahun Baru Cina, baru-baru ini.

Kebanyakan mereka adalah wajah baru dan pelakon muda yang menjayakan filem dan drama terbitan MIG Pictures. Antara mereka Atikah Suhaime, Vicha Saywho, Afiera Riana, Fiella, Syerinie, Dania Azmi, Dayang Areeda, Nina Iskandar, Ernie, Emily Chan, Carolina dan Serina Redzuawan.

Bagi Nina Iskandar, tahun ini mahu lebih fokus pada kerjaya berbanding dua tahun kebelakangan yang lebih banyak berkisar dengan kisah peribadi.

Pelakon kelahiran Brunei itu berkata, ini tahun ketiga bersama MIG Talent yang disifatkan sebagai keluarganya di sini.

“Jujurnya, saya rasa sempurna di sini. Di Brunei, sambutan Tahun Baru Cina tidaklah semeriah di Malaysia melainkan bekerja di syarikat swasta yang diurus kaum Cina, jadi dapatlah rasa suasana itu.

“Menjadi tradisi di MIG setiap tahun, ada dua sambutan hari raya diraikan dengan meriah. Satu sambutan Tahun Baru Cina dan satu lagi Aidilfitri.

“Semua berkumpul bagaikan keluarga besar sebelum masing-masing bercuti panjang meraikan sambutan Tahun Baru Cina,” katanya.

Nina akui tahun ini gelombang positif pada monyet api turut menjadi inspirasi buatnya dalam mencapai kejayaan dalam seni.

Katanya, dia tidak mahu lagi bercakap soal cinta kerana pengalaman lalu, apabila kisah peribadinya lebih mendapat perhatian hingga dia gagal memberi fokus kepada kerjaya dan pencapaian diri.

“Saya kini mulai selesa menjalani kehidupan di Malaysia. Selepas sepi tahun lalu, saya kembali dengan semangat baru untuk meneruskan perjuangan dalam seni.

“Saya juga mempersiapkan diri untuk menguruskan badan demi menjayakan tiga projek lakonan akan datang,” katanya.

Harapan dan impian hampir sama dikongsi pelakon kelahiran Singapura, Atikah Suhaimie yang akui teruja dengan kehadiran ramai muka baru di bawah naungan syarikat pengurusan artis terbesar di Malaysia itu.

Atikah yang juga sudah masuk tahun ketiga bersama MIG Talent, dapat rasakan kemeriahan, sekali gus dapat melupakan seketika rasa rindu terhadap kampung halaman.

“Biarpun ramai muka baru yang muncul, saya tidaklah sampai rasa cemburu atau tercabar. Cuma saya sangat berharap dapat bekerja dengan mereka.

“Tahun ini juga saya harap dapat ‘jadi’ seperti monyet sebagaimana kepercayaan kaum Cina sebagai haiwan yang sukakan cabaran dan senantiasa tangkas,” katanya.

Bagi pelakon berketurunan Cina yang turut mendapat perhatian peminat filem tempatan, Emily Chan, sambutan Tahun Baru Cina di Wisma Metrowealth yang diadakan saban tahun ibarat kemeriahan tatkala pulang ke rumah sendiri.

Pelakon yang pernah beraksi dengan pelakon popular Korea Selatan, Lee Minho untuk iklan aplikasi telefon berkata, dia berharap tahun ini rezeki akan lebih melimpah ruah buat diri dan orang sekeliling.

“Saya juga harap tahun ini dapat membawa karakter yang mampu memberikan inspirasi kepada penonton semua lapisan masyarakat.

“Syukur harapan itu mula jadi kenyataan sikit demi sikit dan ia menunjukkan usaha serta kesabaran saya selama ini berbaloi,” katanya yang akan menjalani penggambaran drama Alice In A Wonderland untuk ntv7.

Selain pegang watak utama untuk drama 25 episod itu, Emily juga diberi peluang beraksi dalam filem Guang arahan pengarah berbakat yang sering menang anugerah di luar negara, Quek Shio Chuan.

Katanya, inilah masa untuk beri tumpuan utama kepada lakonan selepas tamat pengajian dalam bidang penyiaran di United Kingdom, tahun lalu.

Dalam pada itu, pelakon yang sedang beraksi dalam Maharaja Lawak Mega (MLM2016) bersama kumpulan Say­who, Vicha atau Refika Noviati Faturohman berkata, ini kali pertama dia diberi peluang menghadiri sambutan Tahun Baru Cina.

Katanya, walaupun bawah satu pengurusan, masih tidak me­ngenali satu sama lain dan acara seperti ini sekurang-kurangnya dapat bantu kenal antara satu sama lain.

“Jujurnya saya dapat rasa kehangatan sebagai satu keluarga besar. Ditambah pula saya dari Indonesia, pastinya ada rasa terasing tapi dengan mereka, saya dilayan sama rata,” katanya.

Selain MLM2016, Vicha juga sibuk dengan penggambaran drama Hantu Punya Bos. Malah Vicha turut berkongsi kegembiraannya apabila bakal masuk penggambaran filem terbaru, Pontianak 100 KG yang juga adalah ideanya sendiri.

Persiapkan bakat baru

Masyarakat kini bijak melontarkan komen berkaitan lakonan dan filem dihasilkan melalui laman sosial hingga produser tidak lagi boleh berkarya mengikut selera sendiri, sebaliknya mempertimbangkan juga cita rasa penonton.

Produksi MIG Pictures yang sebelum ini giat menghasilkan filem setiap tahun, mula mengambil pendekatan baru sejak tahun lalu dengan mempersiapkan bakat baru bawah pengurusannya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MIG, David Teoh, pihaknya memberikan pendedahan berkaitan kepada artis baru diterima masuk seperti kelas lakonan dan selok-belok perhubungan awam yang dikendalikan tenaga pengajar luar.

“Sebelum ini artis kami tiada peluang itu kerana syarikat sibuk dengan penerbitan filem. Namun sejak kurangnya penerbitan filem, usaha itu dapat dilakukan untuk persiapkan mereka.

“Umum tahu masyarakat kini bijak memberi komen berkaitan lakonan dan filem melalui laman sosial. Pihak kami sering mengambil berat komen itu demi masa depan mereka (artis).

“Selain daripada mempersiapkan ilmu lakonan, dari segi penerbitan awal (praproduksi) juga sudah dipanjangkan sekurang-kurangnya sebulan awal supaya hasil yang keluar lebih berkualiti,” katanya.

Selain mempersiapkan artis, mereka juga mendapatkan khidmat bakat baru dalam bidang penulisan skrip, pengarahan, kerja kamera dan produksi untuk beri peluang kepada idea yang lebih segar.

Kata David, hanya cara begini dapat memperbetulkan pandangan masyarakat filem yang skeptikal terhadap usaha kerja mereka.

Pelakon baru, Fahmi Reza yang kali pertama muncul melalui filem Banglo Berkunci, berkongsi impian sama tatkala bercakap mengenai peluang bergelar artis.

Katanya, selepas hampir setahun bergelar pelakon, dia sudah nampak fokus utama yakni memantapkan lagi ilmu lakonan melalui latihan secara berkala diadakan pihak pengurusan.

“Sebelum ini saya banyak buang masa dengan lepak dan urusan peribadi. Membuatkan saya terfikir untuk apa jadi pelakon tapi tiada ilmu dan teknik betul.

“Sedari itu, saya tekad untuk luangkan lebih banyak masa untuk mendalami ilmu lakonan, mengikut jejak pelakon senior lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2016 @ 5:04 AM