RUANG dalaman Iolani Palace yang dijadikan Muzium Diraja Hawaii.
RUANG dalaman Iolani Palace yang dijadikan Muzium Diraja Hawaii.
PANTAI Waikiki sentiasa penuh dengan pengunjung dan orang ramai boleh melihat bukit Diamond Head dengan jelas.
PANTAI Waikiki sentiasa penuh dengan pengunjung dan orang ramai boleh melihat bukit Diamond Head dengan jelas.
Sufian Thauri Muhammed


Sebut sahaja Hawaii, sudah pasti ramai terbayang keindahan pantai dan reka bentuk muka bumi kawasan tingginya yang menarik. Itu yang dialami penulis sewaktu melawat Pulau Oahu, Hawaii ketika mengikuti penerbangan pertama AirAsia X dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Sepang ke sana, 28 Jun lalu.

Oahu ialah satu daripada lapan pulau yang membentuk Hawaii. Tujuh lagi pulau ialah Ni’hau, Kaua’i, Lana’i, Moloka’i, Maui, Hawai’i dan Kaho’olawe.

Bagaimanapun, tumpuan utama kebanyakan pelancong pastinya Oahu yang menempatkan bandar utama Hawaii, Honolulu selain memiliki penduduk paling ramai berjumlah 953,207 orang dan pelbagai tarikan pelancong termasuk destinasi penggambaran filem terkenal.

Selama empat hari mengikuti program lawatan kendalian Hawaii Tourism Southeast Asia di sana, penulis ditempatkan di Royal Hawaiian Hotel yang terletak di pantai terkenal, Waikiki yang menjadi tumpuan pelancong untuk mandi-manda, lepak dan meluncur.

Berikutan matahari muncul awal kira-kira jam 5.30 pagi, orang ramai boleh dilihat mandi di pantai sepanjang 2.4 kilometer itu pada waktu terbabit sehingga lewat petang.

Dari pantai terbabit, anda boleh melihat bukit Diamond Head setinggi 232 meter dan ketika pedagang dari Eropah datang ke Hawaii pada 1800-an, mereka menyangka bukit itu mempunyai simpanan berlian yang banyak berikutan kelihatan bercahaya dari laut.

Namun, sangkaan mereka meleset kerana tiada berlian ditemui di situ dan Diamond Head sehingga kini menjadi tarikan kepada penduduk dan pelancong untuk mendakinya bagi melihat kecantikan alam semula jadi di Oahu.

Bagi peminat sejarah seperti penulis, pastinya Pearl Harbor yang dibom secara mengejut tentera Jepun pada 7 Disember 1941 menjadi tumpuan utama.

Riak wajah sedih dan serius dalam kalangan pengunjung Amerika Syarikat dapat penulis lihat ketika mereka mengamati bahan sejarah yang dipamerkan di Monumen Pasifik Kebangsaan.

Dalam serangan itu, tentera Jepun menggunakan 353 kapal terbang untuk mengebom Pearl Harbor yang menjadi pangkalan laut tentera Amerika Syarikat.

Serangan itu menyebabkan 2,403 tentera Amerika Syarikat maut dengan kira-kira 1,100 daripada mereka mati dalam kapal perang USS Arizona yang tenggelam ke dasar laut.

Pengunjung juga boleh mengikuti serangan berkenaan menerusi alat wayang 3D. Serangan itu membawa Amerika Syarikat terbabit dengan Perang Dunia Kedua sebelum Jepun menyerah kalah dengan menandatangani perjanjian terbabit di atas kapal USS Missouri yang kini ditempatkan di Pearl Harbor.

Selain itu, di situ juga, pengunjung boleh ke Pasific Aviation Museum yang turut diserang tentera Jepun.

Kesan tembakan pesawat tentera Jepun boleh dilihat di cermin kaca Hangar 79 yang ketika itu menempatkan kapal terbang perang tentera Amerika Syarikat.

Hangar 79 kini menempatkan pesawat perang lama yang pernah digunakan Amerika Syarikat, Jepun, Korea Selatan dan Soviet Union.

Satu lagi tempat menarik yang penulis kunjungi ialah Nu’nuanu Pali, cerun curam setinggi kira-kira 300 meter dari atas laut yang mempunyai pemandangan indah puncak gunung, pantai dan lautan biru Pulau Oahu.

Ketika mengunjunginya, penulis dan pengunjung lain dilanda angin kencang yang seolah-olah menghalang kami mara ke hadapan.

Sekali-sekala penulis terasa tertolak ke belakang akibat dilanda badai, bagaimanapun ia tidak menghalang penulis untuk melihat keseluruhan keindahan yang ditawarkan dari puncak berkenaan.

Menurut pemandu pelancong kami, angin di kawasan itu sentiasa kencang.

Di situ juga pada 1795 berlaku peperangan membabitkan Raja Kamehameha dan musuhnya yang dikatakan menyebabkan ribuan pahlawan mati akibat jatuh ke cerun.

Sehingga kini, tulang mereka masih dijumpai di bawah cerun.

Lokasi menarik lain yang penulis kunjungi ialah Kualoa Ranch yang menjadi lokasi penggambaran filem terkenal seperti Jurassic World dan Kong Skull Island selain drama Lost serta Hawaii Five-O.

Penulis dibawa memasuki hutan hujan tropika Hakipu'u dengan trak dan dari atas sana, penulis dapat melihat penggambaran filem Jurassic World 2 yang sedang berjalan.

Menariknya apabila turun ke bawah, pemandu trak kami yang juga wanita menuruni kawasan tanah tinggi terbabit tanpa menekan brek melalui jalan tanpa tar.

Beberapa kali penulis melambung tetapi dengan adanya tali pinggang selain berpegang kuat pada kerusi depan, tiada apa yang perlu dibimbangkan malah seronok pula.

Di kawasan berhampiran Kualoa Ranch, penulis dibawa ke laut untuk melihat Pulau Mokoli’i dengan menaiki bot dan melihat penyu berenang di permukaan air.

Ombak kuat menarik perhatian penulis dan rakan sehingga ada yang sengaja duduk di dek bawah untuk merasai hempasan ombak yang memasuki bot. Habis lencun pakaian, namun mereka tidak kesah asalkan seronok menikmati hempasan ombak.

Untuk mengikuti sejarah pemimpin Hawaii, penulis dibawa mengunjungi Iolani Palace dan diberikan penerangan mengenai raja dan ratu yang memerintah kepulauan itu sebelum ini.

Bagi memasuki istana ini, penulis diminta memakai sarung kasut bagi mengelakkan kekotoran hinggap ke ruang dalam istana. Di dalam istana ini, pelbagai barangan antik tinggalan raja dan ratu Hawaii dapat dilihat termasuk pakaian, katil dan telefon.

Selain itu, penulis juga dibawa menikmati keindahan alam semula jadi di Waimea Valley yang menempatkan pelbagai tanaman tropika selain air terjun Waimea yang menjadi tumpuan pengunjung untuk bermandi-manda.

Bagi yang meminati budaya, mereka boleh berkunjung ke Polynesian Cultural Center yang mana pengunjung boleh mempelajari tarian Hula, bermain permainan tradisional Hawaii selain berhibur melihat persembahan masyarakat Samoa dan Tonga.

Pada sebelah malamnya, pengunjung boleh menikmati drama muzikal Breath of Life yang dipersembahkan kakitangan Polynesian Cultural Center dengan lakonan menarik, penuh warna-warni dan kaya dengan budaya masyarakat Polynesia.

Berikutan kadar tukaran asing yang tinggi ketika ini, mungkin ramai menyangka peluang untuk membeli-belah barangan di sini memang tipis.

Tetapi jangan terkejut kerana di sini juga ada ‘premium outlet’, Waikele Premium Outlets yang menawarkan pelbagai barangan jenama eksklusif pada harga berpatutan malah ada antara produknya lebih murah berbanding di Malaysia.

Bagi yang ingin ke Hawaii, mereka boleh menaiki penerbangan AirAsia X dari klia2 ke Honolulu yang berlepas setiap Isnin, Rabu, Jumaat dan Sabtu manakala penerbangan pulang dari Honolulu ke klia2 berlepas pada Selasa, Khamis, Sabtu dan Ahad.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2017 @ 12:19 AM