ARIL
ARIL
Ramlah Zainal


Nama penyanyi dan pengacara yang digilap daripada program realiti Akademi Fantasia musim ke-7 (AF7), Aril Pilus agak sepi dalam bidang nyanyian ketika ini.

Malah, ada segelintir pihak mendakwa Aril, 32, sudah meninggalkan bidang nyanyian kerana ingin fokus dalam bidang pengacaraan.

Hakikatnya, Aril masih mencintai bidang nyanyian yang sebati dengan dirinya sejak dulu.

Bagi pemilik nama sebenar Khairil Azam Pilus ini, dia masih memenuhi undangan persembahan hingga sekarang.

“Saya juga banyak memenuhi undangan persembahan membabitkan majlis makan malam pihak korporat dan persendirian.

“Maklumlah, majlis seperti itu tidak ada publisiti daripada media. Pada masa sama, saya juga tidak ada single atau album baru,” katanya.

Ditanya mengenai single baru, kata Aril, ia masih dalam perancangan.

Kali terakhir, Aril pernah muncul dengan lagu Andai Aku ciptaan DJ Fuzz pada penghujung tahun lalu.

“Lagu itu mendapat maklum balas memberangsangkan daripada peminat. Namun, saya masih mengkaji genre lagu yang sesuai dan memenuhi cita rasa peminat ketika ini.

“Saya perlu menghasilkan lagu yang lebih bagus kerana saingan daripada ramai penyanyi dan bakat baru yang hebat dan mewarnai bidang seni tanah air.

“Antara komposer terkenal yang saya ingin bekerjasama untuk single baru nanti ialah Tam Spider. Saya selesa dengan genre muzik yang dihasilkannya,” katanya.

Sudah tamat kontrak dengan Astro

Walaupun meminati bidang nyanyian, Aril akur rezekinya lebih murah dalam bidang pengacaraan ketika ini.

Malah, dia masih diberi kepercayaan mengacarakan musim kedua program TV sebanyak 52 episod berjudul CCTV sejak tahun lalu.

“Program CCTV ini memaparkan perkembangan dunia hiburan tanah air membabitkan penampilan artis undangan yang akan memeriahkan lagi acara.

“Artis undangan juga akan berkongsi perkembangan terkini mereka dalam program ini. Selain itu, ada permainan ringan dengan artis jemputan. Program CCTV juga bersiaran pada jam 9.30 malam di saluran Astro Ria dan Astro HD,” katanya.

Aril juga mengakui dia kini bergerak sendiri selepas kontraknya berakhir dengan pengurusan Astro bulan lalu.

“Selepas tamat kontrak, saya memilih untuk bergerak sendiri menguruskan karier seni. Ramai yang berpendapat saya masih bernaung di bawah pengurusan Astro dan berharap kenyataan ini merungkai persoalan itu.

“Saya juga masih mencari syarikat rakaman yang sesuai untuk pembikinan dan edaran single baru nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2017 @ 12:01 AM