ARIL Pilus. FOTO Aziah Azmee
ARIL Pilus. FOTO Aziah Azmee
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: "Alhamdulillah, setakat ini saya tak pernah meminjam daripada sesiapa. Simpanan saya dan rumah arwah abang saya masih ada."

Demikian kata penyanyi dan pengacara, Aril Pilus, 37, mengenai keadaan dan kedudukan kewangannya selepas tidak lagi mempunyai pekerjaan apabila program CCTV yang dibangunkan dan disiarkan di saluran Astro Ria selama tujuh tahun ditamatkan Ramadan lalu.

Aril atau nama sebenarnya Khairil Azam Pilus berkata, dia cuba bertahan dengan aktif mengadakan siaran langsung di aplikasi TikTok dan meneruskan program Gila Geng di saluran YouTube bagi menjana pendapatan.

"Saya ini jenis orang yang tak pandai menggunakan kad kredit. Hutang saya dengan bank hanyalah kereta dan utiliti lain saja. Saya tak ada masalah berkenaan hutang dan saya ini bukan jenis orang yang berbelanja lebih. Saya pernah melalui zaman itu, masa bujang dulu dah banyak beli barang berjenama. Cuma nak kata sampai tahap meminjam yang teruk memang tak ada. Saya harap perkara itu tak berlaku pada saya.

"Saya harap boleh terus bertahan dan saya cuba kurangkan komitmen yang tak perlu supaya saya dapat menyelesaikan apa yang perlu dan bertahan. Sampai satu perkara yang betul-betul pasti boleh buat duit, dari situ barulah boleh nak menjalani hidup yang saya rasakan selesa," katanya kepada Harian Metro.

Dalam masa sama, Aril juga dalam pertimbangan untuk menyertai bidang akademik selepas berjaya menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pengurusan Industri Kreatif, Universiti Utara Malaysia (UUM).

"Saya ada berbincang dengan ibu bapa dan keluarga, saya nak masuk dalam bidang akademik disebabkan saya baru menamatkan pengajian di UUM. Saya memang ada terfikir untuk sambung pengajian di peringkat sarjana. Disebabkan semua perkara memerlukan duit sekarang ini, apa yang saya boleh buat adalah tunggu hari konvokesyen pada Oktober depan. Dengan segenggam ijazah ini mungkin saya akan mohon kerja lain tapi dalam bidang akademik.

"Saya rasa sepanjang 13 tahun dalam industri hiburan, apa yang saya dah belajar daripada segala jenis bidang sama ada lakonan, nyanyian, radio, pengacaraan dan sebagainya kalau saya tak gunakan pengalaman ini sebagai satu perkara baik yang saya boleh kongsikan kepada orang, ia agak merugikan. Saya pernah terfikir untuk mula menjadi pensyarah. Tapi, banyak perkara saya nak korbankan. Boleh ke saya korbankan? Saya dah membesar dan habiskan setengah umur dalam industri ini. Kemudian saya nak hilang sekejap untut mengajar, saya rasa itu keputusan yang saya tak boleh buat dalam masa singkat.

"Saya nak beralih kepada bidang lain pun mengambil masa yang cukup panjang untuk saya fikir. Jadi, jalan yang terbaik adalah saya tak nak hilang sesuatu yang saya buat dalam industri ini. Saya akan tengok di mana perkara yang saya boleh capai, saya akan bertahan. Pada saya konsep untuk menjadi orang yang popular atau orang kaya dalam industri ini dah tak ada. Apa yang kita boleh buat adalah macam mana nak kekal dan bertahan dalam industri ini, macam mana nak menjadi seorang yang relevan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2022 @ 1:40 PM