PELANGGAN boleh mendapatkan produk keluaran PKS tempatan di kedai Shell SELECT di seluruh negara.
PELANGGAN boleh mendapatkan produk keluaran PKS tempatan di kedai Shell SELECT di seluruh negara.
Oleh Rosyahaida Abdullah


Kuala Lumpur: Inisiatif Realisasi Impianmu Bersama Shell yang dilancarkan Shell Malaysia pada Ogos lalu menyaksikan enam syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bakal menempatkan produk mereka di lebih 600 kedai Shell SELECT di seluruh negara tidak lama lagi.

Mengumumkan nama PKS itu secara maya menerusi siaran langsung di YouTube semalam (Jumaat), Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dan Shell Timur Sdn Bhd, Shairan Huzani Husain berkata, enam PKS itu adalah pemenang utama program berkenaan yang menyasarkan memberi sokongan kepada mereka untuk mengembangkan perniagaan ketika berdepan cabaran ekonomi semasa.

Menurutnya, berbanding hanya tiga pemenang utama yang dirancang pada peringkat awal, pihaknya memutuskan menambah tiga lagi pemenang bagi membolehkan lebih banyak PKS menerima manfaat inisiatif terbabit.

"Agak mengejutkan apabila penyertaan yang diterima melebihi 300 PKS menyebabkan kami memikirkan perlunya peluang sebegini disediakan kepada lebih ramai PKS apa lagi dengan impak pandemik Covid-19 terhadap perniagaan ketika ini.

"Hasil proses penilaian yang ketat, kita akhirnya memilih enam PKS sebagai pemenang utama di mana selain menempatkan produk mereka di Shell SELECT, pemenang utama juga akan diberikan sokongan dari segi pemasaran, pembungkusan dan logistik.

"Diharap ini bukan saja memanfaatkan PKS berkenaan malah membolehkan pelanggan Shell menikmati kepelbagaian produk berkualiti keluaran PKS tempatan di seluruh negara," katanya.

Enam PKS terbabit terdiri daripada Big Why Enterprise dengan produk Aiskrim Malaysia IKAT, Binarich Enterprise (Salis Pop Rice), I ON Enterprise (Ready-To-Eat Murtabak), Kincirmas Sdn Bhd (teh), Meals in Minutes Sdn Bhd (Ready-To-Eat Burger) dan Rompin Integrated Pineapple Industries Sdn Bhd (jus nanas).

Menurutnya, mengiringi enam pemenang utama, seramai 23 lagi PKS juga berpeluang menempatkan produk mereka di kedai Shell SELECT terpilih di seluruh negara.

"Ini sebahagian peranan yang kami fikir perlu dimainkan Shell khususnya pada waktu sekarang untuk membantu PKS mengembangkan perniagaan mereka yang sekali gus akan merancakkan ekonomi negara," katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, inisiatif Shell Malaysia itu sedikit sebanyak membantu kerajaan mengurangkan impak ekonomi semasa menerusi sokongan terhadap PKS.

"Berdasarkan kaji selidik SME Corp, kira-kira 73 peratus PKS dijangka mengalami kerugian pada tahun ini kesan daripada penularan wabak Covid-19.

"Namun berdasarkan data Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pula, sebanyak 82,555 perniagaan baharu didaftarkan sepanjang 1 April hingga 19 Julai 2020, ini bermaksud situasi semasa Covid-19 tidak menghalang sesiapa saja untuk menceburi bidang perniagaan tetapi perlulah mengikut platform yang betul dan bersesuaian.

"Saya percaya inisiatif dijalankan Shell Malaysia bukan saja akan menjana pendapatan lebih baik buat PKS terbabit malah membuka lebih banyak peluang lain buat mereka untuk meningkatkan lagi perniagaan seterusnya memulihkan kembali ekonomi kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2020 @ 7:30 AM