Shah Alam: Shell Malaysia (Shell) menyasarkan untuk mencapai sekurang-kurangnya 80,000 langganan Kad Prabayar Shell easiGo dalam tempoh enam bulan akan datang.

Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dan Shell Timur Sdn Bhd, Azman Ismail berkata, pihaknya yakin sasaran itu mampu dicapai kerana ia kaedah pembayaran alternatif melangkau perkhidmatan debit dan kredit.

“Kami lihat tawaran kad prabayar ini berpotensi untuk menarik jumlah langganan ini berdasarkan purata asas harian di mana kami memiliki lebih sejuta pelanggan dan 70 peratus daripadanya menggunakan kemudahan tunai,” katanya pada sidang media sempena majlis pelancaran Kad Prabayar Shell easiGo American Express di sini, semalam.

Kad itu hasil kerjasama dua syarikat kewangan iaitu Maybank dan American Express bertujuan menyediakan cara pembayaran lebih selamat serta mudah mengisi minyak tanpa transaksi, sekali gus membantu pengguna menjimatkan masa.

Terdapat dua jenis Kad Prabayar Shell yang direka bagi pemandu kereta dan penunggang motosikal. Ia turut dilengkapi pelbagai manfaat serta ciri menarik termasuk Insurans Lumpuh Kekal (TPD) percuma bernilai RM15,000 pada tahun pertama dan menikmati diskaun hingga 10 peratus bagi pembelian produk pelincir di Shell Select.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 November 2014 @ 5:06 AM