ROSOL (dua dari kanan) bersama Chuah (kiri) menunjukkan salah satu produk halal tempatan di Lotus’s Ampang, semalam.
ROSOL (dua dari kanan) bersama Chuah (kiri) menunjukkan salah satu produk halal tempatan di Lotus’s Ampang, semalam.
Sri Ayu Kartika Amri

LOTUS'S Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Lotus's Malaysia) menampilkan kira-kira 400 barisan barangan runcit makanan dan bukan makanan daripada 71 rakan kongsi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di 64 stornya di seluruh negara, dalam usaha menyokong Kempen Jadikan Halal Pilihan Utama Anda.

Presiden Lotus's Malaysia, Kenneth Chuah berkata, Lotus's akan terus menjadi platform bagi PKS untuk memajukan perniagaan mereka.

Katanya, Lotus's juga memahami tanggungjawabnya dalam memastikan PKS tempatan menjadi tonggak penting pertumbuhan ekonomi negara dapat berkembang dan bertahan.

"Kempen Jadikan Halal Pilihan Utama Anda ini bertujuan menarik minat dan menggalakkan pengguna bagi memilih produk tempatan halal yang berkualiti serta berpatutan dihasilkan oleh PKS.

"Kami juga mempunyai keyakinan terhadap keupayaan dan kualiti pengeluar PKS tempatan kerana 90 peratus daripada 3,000 produk berjenama Lotus's diperoleh dan dihasilkan secara tempatan," katanya pada majlis pelancaran Kempen Jadikan Halal Pilihan Utama Anda Lotus's di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid dan Ketua Pegawai Eksekutif Halal Development Corporation (HDC), Hairol Ariffien Sahari.

Chuah berkata, barangan jenama Lotus's seperti produk makanan dan penjagaam mulut diperakui halal sepenuhnya.

Beliau berkata, selain menyenaraikan produk PKS di semua stornya, Lotus's juga bekerjasama rapat dengan mereka dalam pembangunan produk, strategi harga dan pemasaran serta penambahbaikan pembungkusan produk.

Sebagai sokongan kepada kempen ini, Lotus's turut menjalankan inisiatif seperti tawaran produk, komunikasi dalam stor, promosi dalam platform media dan sampel produk untuk menggalakkan pelanggan membeli-belah di stor Lotus's atau dalam talian untuk memperoleh pelbagai rangkaian produk halal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2022 @ 7:01 AM