Petaling Jaya: Shell Malaysia akan memperkenalkan minyak Euro 4M V-Power 97 di pasaran Malaysia pada September ini dan Euro5 Diesel menjelang akhir tahun ini.

Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dan Shell Timur Sdn Bhd, Azman Ismail berkata, pihaknya bersedia memenuhi panduan ditetapkan kerajaan dengan memperkenalkan kedua-dua minyak terbabit.

“Euro 4M hanya akan diperkenalkan bagi RON97 sebagai pilihan kepada pemandu di negara ini,” katanya pada sidang media bersempena pelancaran program ‘Welcome to Shell’ di sini, semalam.

Program komprehensif yang membabitkan latihan dan perkhidmatan hospitaliti selama tiga tahun itu dijangka memberi jaminan terbaik kepada pelanggan selain menawarkan pelbagai tawaran baru serta penambahbaikan di kedai Shell.

Beliau berkata, satu latihan komprehensif yang membabitkan lebih 8,000 kakitangan di stesen Shell sedang dijalankan secara berperingkat dan akan tamat menjelang 2016.

“Kami akan memberikan wajah baru kepada kedai Shell Select mengikut reka bentuk baru serta menyediakan makanan dan minuman di bawah jenama deli2go, selain penambahbaikan kemudahan seperti kawasan rehat, surau dan tandas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2015 @ 8:16 AM