NATASYA Syahirah (empat dari kanan) dan Ku Muhammad Amin diumumkan pemenang CIMB ASEAN Stock Challenge 2017.
NATASYA Syahirah (empat dari kanan) dan Ku Muhammad Amin diumumkan pemenang CIMB ASEAN Stock Challenge 2017.
HM Digital

Dua penuntut Management & Science University (MSU) muncul pemenang dalam pertandingan CIMB ASEAN Stock Challenge 2017, acara tahunan membabitkan penyertaan siswa institusi pengajian tinggi di rantau ASEAN.

Mereka ialah Natasya Syahirah Azman Azif dan Ku Muhammad Amin Ku Khalif, penuntut program Bachelor in Investment Management, Faculty of Business Management and Professional Studies (FBMP).

Dikenali sebagai pasukan TA, mereka mencatat keuntungan tertinggi iaitu 79 peratus untuk mengatasi 10 pasukan lain yang terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Sebagai pemenang, mereka menerima hadiah wang tunai AS$800 dan seterusnya mewakili Malaysia ke pertandingan di peringkat ASEAN pada Januari 2018 di Jakarta, Indonesia.

Mereka akan bersaing dengan peserta dari Indonesia, Singapura, Thailand, Kemboja dan Brunei akan dinilai juri dari rantau ASEAN.

Cabaran tahun ini menyaksikan peserta menerima suntikan dana bernilai AS$80 juta dalam modal pelaburan maya untuk digunakan dalam berdagang secara maya di lima bursa utama di rantau Asia iaitu Bursa Malaysia, Indonesia (IDX), Singapura (SGX), Thailand (SET), dan Hong Kong (HKEx).

Pertandingan perdagangan masa nyata menggunakan modal maya membabitkan dua peringkat melalui penggunaan aplikasi mudah alih iaitu peserta dinilai dalam aspek perancangan strategik dan pengetahuan terhadap pasaran masa hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2017 @ 2:15 PM