AHMAD Shahriman (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama, Kashif Ansari selepas umum kerjasama antara CIMB Islamic dan Juwai IQI.
AHMAD Shahriman (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama, Kashif Ansari selepas umum kerjasama antara CIMB Islamic dan Juwai IQI.

Kuala Lumpur: CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd menjalin kerjasama dengan Juwai IQI, kumpulan teknologi hartanah terbesar di Asia sebagai bank tempatan pertama menawarkan pembiayaan hartanah kepada pelanggan Juwai IQI di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff berkata, perkongsian itu turut membolehkan akses langsung kepada rangkaian penyelesaian pelaburan dan manfaat eksklusif CIMB, sekali gus menawarkan pusat sehenti untuk pelbagai keperluan pembiayaan.

"Kami menawarkan penyelesaian patuh syariah dan mampan kepada pelanggan Juwai IQI, termasuk pembiayaan, takaful, deposit, pelaburan dan perkhidmatan perbankan yang lain.

"Melalui kadar dasar semalaman pada paras rendah 1.75 peratus, pengguna boleh memanfaatkan kadar gadai janji serta mencari kelas aset lain untuk menjana hasil yang lebih tinggi.

"Kami meramalkan pertumbuhan yang lebih kukuh bagi perniagaan perbankan pengguna kami pada tahun ini dan menjangka permintaan yang lebih tinggi terhadap hartanah di negara ini dan Asean secara keseluruhannya, seiring dengan pemulihan ekonomi global," katanya dalam kenyataan.

Juwai IQI sudah beroperasi di Malaysia sejak 2012 dan memiliki kehadiran di 10 negeri, menjual dan menyewakan unit hartanah dengan nilai gabungan lebih AS$1 bilion tahun lalu.

Ia memilih Malaysia sebagai lokasi ibu pejabatnya bagi Asean.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama, Kashif Ansari berkata, sejak menjadikan Malaysia ibu pejabat bagi rantau ini untuk perniagaan hartanah pada 2016, pihaknya berjaya berkembang sehingga 10 kali ganda sebagai peneraju syarikat teknologi hartanah di Asean.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 7:10 AM