BANGUNAN Sultan Abdul Samad dibina pada tahun 1894.
BANGUNAN Sultan Abdul Samad dibina pada tahun 1894.
CARCOSA Seri Negara pada asalnya adalah kediaman rasmi Sir Frank Swettenham.
CARCOSA Seri Negara pada asalnya adalah kediaman rasmi Sir Frank Swettenham.
SENI bina Istana Negara unik kerana memiliki 22 kubah.
SENI bina Istana Negara unik kerana memiliki 22 kubah.
MUZIUM Negara dibina menggantikan Muzium Selangor yang musnah akibat Perang Dunia Kedua.
MUZIUM Negara dibina menggantikan Muzium Selangor yang musnah akibat Perang Dunia Kedua.
PENGHORMATAN 11,000 perajurit negara yang terkorban diabadikan menerusi pembinaan Tugu Negara.
PENGHORMATAN 11,000 perajurit negara yang terkorban diabadikan menerusi pembinaan Tugu Negara.
STADIUM Merdeka adalah lokasi pemasyhuran Kemerdekaan negara pertama pada 31 Ogos 1957.
STADIUM Merdeka adalah lokasi pemasyhuran Kemerdekaan negara pertama pada 31 Ogos 1957.
BANGUNAN Stesen Keretapi Kuala Lumpur direka oleh pembantu arkitek British Arthur Benison Hubback yang siap dibina pada 1910.
BANGUNAN Stesen Keretapi Kuala Lumpur direka oleh pembantu arkitek British Arthur Benison Hubback yang siap dibina pada 1910.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Negaraku Sehati Sejiwa dipilih sebagai tema sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini yang disambut pada 31 Ogos setiap tahun. Ini bermakna sudah 60 tahun negara mencapai kemerdekaan.

Dalam tempoh itu boleh disaksikan banyak kemajuan membanggakan dicapai negara kita dalam pelbagai bidang. Sebagai contoh, pembinaan bangunan pencakar langit juga dilihat sebagai antara kejayaan sesebuah negara.

Namun, kewujudan bangunan bersejarah tidak boleh dinafikan dan sangat penting kepada sesebuah negara merdeka kerana memberikan penjelasan mengenai bagaimana bermula kewujudan negara berkenaan.

Di Malaysia, setiap negeri mempunyai bangunan bersejarah dibina ketika zaman kolonial yang sarat dengan kisah menarik dan memberikan identiti tersendiri.

Antara bangunan bersejarah di Kuala Lumpur ialah Bangunan Sultan Abdul Samad, Tugu Negara, Stesen Keretapi Kuala Lumpur, Muzium Negara, Istana Negara, Stadium Merdeka dan Carcosa Seri Negara.

Ternyata peranan bangunan bersejarah kepada negara begitu penting sebagai satu khazanah berharga yang perlu dipelihara dan dipertahankan selain sarat dengan elemen patriotisme.

Kali ini penulis berkesempatan menemui pakar sejarah terkemuka negara Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim bagi berkongsi pandangannya mengenai bangunan bersejarah di negara ini khususnya Kuala Lumpur.

Beliau berkata, bangunan bersejarah di Kuala Lumpur mula dibina apabila bandar raya itu dipilih sebagai pusat pentadbiran Negeri Melayu Bersekutu oleh British pada 1896.

“Walaupun pada masa itu Ipoh (Perak) lebih kaya dengan hasil bijih timah tetapi Kuala Lumpur tetap dipilih sebagai pusat berkenaan.

“Ini disebabkan kedudukan Kuala Lumpur yang strategik iaitu terletak di antara Pulau Pinang dengan Singapura selain menjadi pelabuhan utama di Gugusan Kepulauan Melayu,” katanya kepada Nuansa.

Katanya, pelabuhan menjadi nadi utama kepada aktiviti perdagangan termasuk eksport dan import Tanah Melayu.

Tambahan pula katanya, Kuala Lumpur pada masa itu sedikit maju berbanding negeri lain kerana mempunyai kemudahan kereta api yang menyediakan laluan dari Kuala Lumpur ke Bukit Kuda yang kini dikenali sebagai Klang sejak 1886 menyebabkan kawasan itu menjadi tumpuan pedagang.

Khoo berkata, kewujudan bangunan bersejarah juga menjadikan negara terbabit dikenali di peringkat dunia lebih-lebih lagi jika bangunan berkenaan unik dan sarat peristiwa menarik.

“Sebagai contoh, reka bentuk Bangunan Sultan Abdul Samad dikatakan dipengaruhi unsur agama Islam di India.

“Sudah tentu keunikan ini boleh menarik minat pengkaji sejarah luar atau pelancong untuk datang melihat bangunan berkenaan dan mengingati Malaysia,”katanya.

Ditanya bagaimana mahu memastikan bangunan bersejarah kekal di negara ini, beliau berkata, rakyat Malaysia perlu meniru semangat dimiliki rakyat di Barat yang sangat menghargai bangunan seperti itu sebagai warisan negara.

“Kerajaan juga perlu memainkan peranan untuk menjaga bangunan lama (bersejarah) di samping mengekalkan budaya tradisional.

“Budaya itu semakin terhakis dan usah terlalu mengejar kemodenan.

“Golongan muda juga perlu diperkenalkan bangunan bersejarah yang terdapat di negara ini supaya mereka lebih memahami dan menghargai,”katanya.

Katanya, sekiranya bangunan terbabit tidak dipertahankan, ia boleh memberi kesan terhadap pembentukan negara bangsa di negara itu.

“Ia boleh diukur daripada tiga perspektif utama iaitu aspek kenegaraan, kewarganegaraan dan kebangsaan.

“Konsep kenegaraan perlu ditanam dan dipupuk dalam diri setiap rakyat negara itu demi keutuhan negara sebagai kumpulan sosial,”katanya.

Bangunan Sultan Abdul Samad

Nama bangunan ini diambil sempena nama Sultan Selangor Sultan Abdul Samad. Ia direka oleh arkitek British, A C Norman dan A B Hubbock pada 1894 dan menjadi mercu tanda bagi bandar raya Kuala Lumpur serta Malaysia. Di sinilah bendera Union Jack diturunkan pada 31 Ogos 1957 dan bendera Jalur Gemilang dikibarkan

Tugu Negara

Dibina pada 1966 sebagai penghormatan kepada 11,000 perajurit negara yang terkorban dalam Perang Dunia Pertama, Kedua dan ketika zaman darurat. Direka oleh arkitek dari Austria, Felix de Weldon dan monumen itu diperbuat daripada gangsa.

Stesen Keretapi Kuala Lumpur

Pembantu arkitek British Arthur Benison Hubback adalah individu mereka bentuk stesen berkenaan yang siap dibina pada 1910. Pembinaannya menggantikan stesen lama di tapak asal dan pernah dijadikan hab kereta api di bandar raya itu bagi Keretapi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Keretapi Tanah Melayu sebelum Kuala Lumpur Sentral mengambil alih peranannya pada 2001.

Muzium Negara

Dibina pada 1961 di atas tapak Muzium Selangor yang musnah pada Mac 1945 akibat Perang Dunia Kedua. Muzium Negara adalah peneraju aktiviti permuziuman di negara ini dan menjadi pendokong kepada pemuliharaan serta pengekalan warisan koleksi khazanah negara.

Istana Negara

Pembinaannya menjadi mercu tanda bagi sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan di negara ini. Ia dibina di kawasan seluas 97.65 hektar dan reka bentuk bangunan bercirikan Islam dan tradisional Melayu. Keunikan seni bina Istana Negara yang paling menonjol ialah mempunyai 22 kubah.

Stadium Merdeka

Siap dibina pada 21 Ogos 1957 direka oleh S E Jewkes dari cawangan kejuruteraan Ibu Pejabat Kerja Raya Persekutuan. Menariknya stadium bernilai RM2.3 juta ini menjadi lokasi upacara pemasyhuran kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957 dan sebab itu dianggap sebagai salah satu bangunan bersejarah. Stadium berkenaan diiktiraf sebagai warisan kebangsaan pada 2003.

Carcosa Seri Negara

Carcosa dipercayai perkataan pinjaman daripada bahasa Itali bermaksud tempat amat disayangi. Ia dibina Residen Jeneral British pertama di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu iaitu Sir Frank Swettenham sebagai kediaman rasminya. Bagaimanapun, Carcosa yang dibina pada 1896 dipulangkan kepada Kerajaan Malaysia pada 1987 dan kini menjadi salah satu hotel utama di ibu kota.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2017 @ 1:04 PM