PAMERAN Jalan Merdeka turut menyediakan pelbagai aktiviti membabitkan kanak-kanak bagi menyemai semangat cintakan negara kepada golongan itu.
PAMERAN Jalan Merdeka turut menyediakan pelbagai aktiviti membabitkan kanak-kanak bagi menyemai semangat cintakan negara kepada golongan itu.
Nor Hanisah Kamaruzaman


Rumah agam Carcosa Seri Negara atau lebih dikenali dengan nama King’s House cukup sinonim dengan sejarah negara apabila menjadi saksi kepada pemeteraian Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957.

Diperbaharui dan diperhalusi ke zaman kegemilangannya, bangunan bersejarah itu dipilih sebagai tuan rumah bagi Pameran Jalan Merdeka iaitu siri aktiviti bertemakan patriotisme sepanjang September lalu.

Akzonobel, pengeluar cat berjenama Dulux menyelitkan pelbagai aktiviti menerusi penggunaan warna dan cat dalam pameran berkenaan yang bertujuan memperingati kemerdekaan Malaysia yang ke-60.

Pengubahsuaian Carcosa Seri Negara adalah seiring dengan inisiatif global jangka panjang AkzoNobel iaitu perbandaran insan.

Dipacu komitmen untuk terus berkembang, bersemangat dan menjana komuniti bandar serata dunia, usaha berkenaan adalah salah satu kaedah Akzonobel membantu masyarakat setempat menjalin hubungan emosi dengan komuniti serta warisan di dalam negara.

Pengurus Besar AkzoNobel Decorative Paints Malaysia, Indra Laban berkata, pihaknya teruja untuk turut serta dalam memelihara warisan negara.

DULUX teruja turut terbabit dalam pembaharuan dan pemeliharaan Carcosa Seri Negara.
DULUX teruja turut terbabit dalam pembaharuan dan pemeliharaan Carcosa Seri Negara.

“Kami sangat gembira melihat usaha ini kerana memelihara dan meraikan warisan budaya adalah bahagian kritikal dalam bidang pembinaan daya tahan.

“Kita perlu memelihara tempat penting dalam segenap komuniti dan menjadikan peristiwa silam sebahagian daripada masa hadapan,” katanya.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada barisan penaja yang menjadi sebahagian daripada program berkenaan iaitu Kordel, Magnolia dan Muzium Warisan Asia.

Selain menaja pembaharuan bangunan, Dulux turut menganjurkan peraduan Melukis & Mewarna Dulux bertujuan meningkatkan kesedaran ibu bapa terhadap kepentingan memberikan pendedahan mengenai warna kepada anak-anak.

“Menjadi rakyat Malaysia yang sebenar ialah menyedari dan mengingati sejarah dan warisan negara. Peristiwa pembentukan Malaysia adalah kisah penting kerana ia bukti kewujudan dan penentu pencapaian kita sehingga ke peringkat ini.

“Sementara kami melihat kanak-kanak sebagai harapan masa hadapan, AkzoNobel turut berharap untuk mendekati dan menjemput golongan ini bagi menzahirkan imej berkenaan Malaysia pada masa hadapan.

PERTANDINGAN mewarna memberi pendedahan kepada ibu bapa terhadap kepentingan warna bagi membantu proses pembelajaran kanak-kanak.
PERTANDINGAN mewarna memberi pendedahan kepada ibu bapa terhadap kepentingan warna bagi membantu proses pembelajaran kanak-kanak.

Berdasarkan kajian yang dijalankan AkzoNobel, warna bukan saja perangsang visual tapi turut membangkitkan maklum balas hubungan, emosi dan estetik dalam kanak-kanak.

Hasil kajian itu turut membuktikan warna memberi pengaruh halus terhadap pencapaian pendidikan kanak-kanak.

Pertandingan bertemakan ‘Malaysia tahun 2027’ itu menawarkan hadiah sebanyak RM8,000 menerusi dua kategori yang dipertandingkan.

Turut hadir pada majlis berkenaan Pengerusi Majlis Warisan Muzium Asia, Tunku Zain Al-’Abidin Tuanku Muhriz.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2017 @ 2:48 PM