Mohamad Hussin


KUALA LUMPUR: “Program ini sangat unik kerana ia mencatat sejarah tersendiri apabila menggabungkan dua artifak berbeza iaitu fizikal dan bangunan buat julung kalinya.

“Bangunan (Seri Negara) yang kita nampak sekarang yang masih wujud sejak sebelum Merdeka manakala fizikal pula adalah anak-anak bekas kakitangan Istana Tetamu,” kata penyelaras program, Mohammad Nasri Sani, 55, berjaya menghimpunkan lebih 150 anak-anak bekas pekerja Istana Tetamu atau lebih dikenali sebagai Seri Negara pada majlis temu semula, di sini, semalam.

Beliau berkata, pada awalnya, Seri Negara dikenali sebagai King House adalah tempat penginapan pemerintahan di zaman British sebelum ditukar kepada Istana Tetamu.

“Kebanyakan ibu dan ayah kami bekerja sebagai pelayan, pemandu dan tukang masak di istana berkenaan sejak zaman pemerintahan British.

“Terdapat lapan kuarters yang terletak di belakang istana ini untuk kemudahan kakitangan yang berkhidmat di sini. Arwah bapa saya, Allahyarham Mohd Sani Samad, mula bekerja sebagai budak pejabat sejak 1953 hingga dinaikkan pangkat sebagai ketua pelayan,” katanya.

PENGERUSI Asian Heritage Museum (AHM) Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Muhriz (tiga dari kanan) melihat pameran majlis reunion di Carcosa Seri Negara. FOTO Syarafiq Abd Samad
PENGERUSI Asian Heritage Museum (AHM) Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Muhriz (tiga dari kanan) melihat pameran majlis reunion di Carcosa Seri Negara. FOTO Syarafiq Abd Samad

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 7:03 AM