Fahmy Azril Rosli

Kuala Lumpur : Waris Pesuruhajaya Tinggi British di Tanah Melayu, Sir Gerald Templer begitu teruja menjejakkan kaki buat pertama kali di Carcosa Seri Negara.

Gerald Templer, 32, yang tiba di Malaysia, semalam, bersama temannya, Victoria, menganggap bangunan yang suatu ketika dahulu pernah menjadi kediaman datuk dan ayahnya sebagai pengubat rindu kepada dua individu terpenting baginya itu.

 GERALD Templer  bersama teman wanitanya, Victoria  melawat Carcosa Seri Negara  bagi menjejaki sejarah penjajahan British di Tanah Melayu. FOTO Sairien Nafis
GERALD Templer bersama teman wanitanya, Victoria melawat Carcosa Seri Negara bagi menjejaki sejarah penjajahan British di Tanah Melayu. FOTO Sairien Nafis

“Ia pengalaman yang amat indah dapat berkunjung ke sini. Mana tidaknya, datuk (Sir Gerald Templer) meninggal sebelum saya lahir lagi.

“Apabila berada di sini, di tempat kerja datuk dan juga tempat di mana ayah saya dibesarkan, terasa seperti dapat merasai ‘hubungan’ antara mereka berdua.

“Terima kasih kepada KK Tan (Ketua Pegawai Eksekutif Asian Heritage Museum) yang sanggup memulihara bangunan bersejarah ini sekali gus usaha itu dapat mengekalkan sejarah keluarga saya,” katanya kepada media ketika ditemui di Carcosa Seri Negara.

 TAN menerangkan sejarah British di Tanah Melayu. FOTO Sairien Nafis
TAN menerangkan sejarah British di Tanah Melayu. FOTO Sairien Nafis

Gerald juga berharap orang ramai mengambil peluang untuk berkunjung ke bangunan dan lokasi bersejarah ini untuk merasai sendiri pengalaman berada pada zaman kolonial.

Pada lawatan ini, katanya, kemungkinan beliau akan mengajak keluarganya untuk berkumpul beramai-ramai di Carcosa Seri Negara bagi memperingati kenangan yang ditinggalkan mendiang datuk dan ayahnya.

Sir Gerald Templer adalah panglima tentera British yang berkhidmat ketika Perang Dunia Kedua.

Beliau dikenali kerana berjaya mematahkan gerakan pengganas komunis di Malaya antara 1952 hingga 1954.

Pada 12 Jun lalu, adik Gerald iaitu Ben Templer membuat kunjungan mengejut ke lokasi sama.

SIR Gerald Templer berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu. FOTO Jabatan Penerangan Malaysia/Department of Information Malaya
SIR Gerald Templer berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu. FOTO Jabatan Penerangan Malaysia/Department of Information Malaya

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 10:24 AM