Kuala Lumpur : Datuk Seri Najib Razak semalam, mengingatkan semua pemimpin dan ahli UMNO prinsip paling penting dalam parti ialah kesetiaan serta ketaatan kepada pucuk pimpinan.

Presiden UMNO itu menegaskan, prinsip itu bukan sekadar nilai utama, malah menjadi sifat, sikap, prinsip dan pegangan yang mesti berdarah daging dan menunjangi diri setiap ahli UMNO dari peringkat bawahan hingga pimpinan kanan.

Menurutnya, hal itu kerana jika sifat setia tidak wujud kental pada diri dalam mendukung pimpinan utama, ia akan merosakkan perancangan dan parti pasti pincang.

“Sebab itu, Islam secara khulasahnya menetapkan wajib kita mentaati pemimpin yang memerintah.

“Ingatan ini bukan sesuatu yang menurut hawa nafsu, namun disandarkan kepada sirah dan ibrah nabi yang didampingi sahabat berwibawa.

“Dalam Islam berasaskan nas dan matan hadis yang sahih, jumhur ulama, berpegang kepada pandangan dan nilai kesetiaan serta ketaatan yang disebut sebagai wala’ bererti memberi taat, kecintaan, setia dan kasih sayang kepada pemimpin dan institusi kepimpinan itu.”

Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar presiden, ‘UMNO: Menyempurnakan Sebuah Perjuangan’ pada Perhimpunan Agung UMNO 2015 di PWTC di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib-Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta pemimpin ketiga-tiga sayap, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (Wanita), Khairy Jamaluddin Abu Bakar (Pemuda) dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Puteri).

Seramai 2,762 perwakilan daripada 191 UMNO Bahagian hadir pada perhimpunan tahunan berkenaan.

Najib berkata, parti atau organisasi politik tidak dapat memisahkan prinsip kepimpinan dan kepengikutan kerana kedua-duanya saling berkait.

Malah, beliau berkata, hukum kesetiaan disebut berulang kali dalam al-Quran dan hadis termasuk mengenai tuntutan ketaatan kepada ‘ulil amri’.

“Barulah wujud dan adanya disiplin, tanzim serta ketersusunan dalam organisasi seperti UMNO ini. Ulama menyebut, sesuatu hak dan kebenaran yang tidak diwaspada pun boleh tewas oleh fitnah dan kebatilan yang dikerangkakan dengan rapinya oleh pihak yang curang dan berniat jahat,” katanya.

Mengimbau sejarah perjuangannya menempuh onar dan ranjau kerjaya sebagai ahli politik dan anggota pentadbiran, Najib berkata, beliau bukan seorang yang suka konfrantasi, malah tidak pernah menjatuhkan sesiapa.

“Apatah lagi untuk mengkhianati UMNO tercinta ini. Malah tercatat dalam lipatan sejarah parti ini, bahawasanya Najib Razak ini pada 1987 di persimpangan getir untuk menyebelahi pucuk pimpinan UMNO pada masa itu.

“Dengan penuh kasih dan hormatnya tetap memilih untuk taat dan bersetia kepada kepemimpinan Tun Dr Mahathir (Mohamad) dalam mempertahankan kedudukannya ketika itu sebagai Presiden UMNO, sekali gus mengekalkan dirinya sebagai Perdana Menteri,” katanya menyingkap krisis UMNO pada tahun itu antara Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah.

Malangnya, beliau berkata, ada sesetengah pihak yang sudah dan sedang menebuk lubang bahtera perjuangan UMNO dengan tujuan menenggelamkan lawannya.

“Sayang 1,000 kali sayang, mereka terlupa tindakan khianat sedemikian bukan setakat melemaskan pihak lawannya, akan tetapi akhirnya yang karam dan tenggelam seluruh bangsa keturunan dan tamadun kita ini,” katanya.

Mengingat kembali kata-kata Sheikh Abdullah Fahim, ulama besar negara dari Pulau Pinang yang juga Datuk kepada mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Najib berkata, orang Islam perlu memperbaiki perbalahan sesama mereka dan selepas berdamai, penyatuan yang terbina itu diharap akan berkekalan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2015 @ 10:25 AM