Oleh Aziman Rosdi


Petaling Jaya: Jurulatih Jerman yang pernah membimbing skuad remaja Estonia Frank Bernhardt (gambar) menjadi pilihan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk membimbing skuad bawah 23 tahun (B-23) dalam misi memburu pingat emas Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur.

Keputusan untuk melantik jurulatih berusia 46 tahun itu dengan ikatan kontrak dua tahun dibuat Jawatankuasa Bertindak Khas FAM menerusi penilaian panel pemilih yang membabitkan wakil badan induk itu serta Majlis Sukan Negara (MSN) dalam satu mesyuarat khas semalam.

Bernhardt yang kini tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas kali terakhir membimbing kelab dari Azerbaijan Sumgayit FK mengetepikan calon pilihan, jurulatih Harimau Muda A Datuk Ong Kim Swee dan seorang lagi jurulatih dari Jerman Michael Weiss.

Menurut pengerusi jawatankuasa itu yang juga Timbalan Presiden FAM Datuk Mokhtar Ahmad, Bernhardt yang pernah membimbing skuad B-19 dan 21 Estonia sebelum ini menepati kriteria yang mereka inginkan.

“Jawatankuasa Bertindak Khas FAM bersetuju mengumumkan Bernhardt sebagai jurulatih baru skuad B-23 dengan pelantikan itu berkuat kuasa Januari ini.

“Beliau akan diberikan kontrak dua tahun serta bertanggungjawab membawa pasukan memenangi pingat emas Sukan SEA 2017 kerana kita menjadi tuan rumah ketika itu,” katanya kepada pemberita semalam.

Bagaimanapun Mokhtar enggan mengulas lanjut mengenai perancangan Skuad Projek Sukan SEA 2017 ini sama ada akan dihantar menyertai mana-mana liga luar negara atau turut dibenarkan beraksi dalam Liga Super musim depan.

Pelantikan Bernhardt itu mencetuskan persoalan mengenai masa depan Kim Swee yang kini bertindak selaku pengendali sementara Harimau Malaya namun kontraknya bakal tamat pada hujung bulan ini.

Malah FAM juga seakan-akan melengah-lengahkan keputusan untuk mengumumkan jurulatih tetap skuad senior itu apabila Mokhtar mengesahkan pelantikan itu bakal dibuat akhir Januari depan.

“Jurulatih baru skuad kebangsaan akan diumumkan pada akhir Januari tahun depan dan barisan panel sudah menilai setiap calon yang mengemukakan permohonan dan antaranya mereka akan dipanggil (ditemuduga) nanti.

“Kami sedar situasi Kim Swee (yang akan tamat kontrak pada 31 Disember ini) dan FAM akan bertemu dengan beliau nanti. Apapun, Kim Swee sudah mengemukakan permohonan untuk menjadi jurulatih kebangsaan dan kita lihat apa yang berlaku nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2015 @ 10:47 AM