Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: P engendali sementara Harimau Malaya Datuk Ong Kim Swee (gambar) bersedia membimbing Skuad Projek Sukan SEA 2017 biarpun fokusnya kini lebih terarah kepada skuad senior.

Menurutnya, beliau tidak rasa tersepit apabila mendapat tahu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mencalonkan dirinya untuk merebut jawatan jurulatih skuad projek itu biarpun pada masa sama memohon untuk mengisi kerusi panas pengendali Harimau Malaya secara tetap.

“Saya tidak fikir akan ‘tersepit’ kerana isu skuad projek dan senior itu. Mungkin mereka mengambil kira pengalaman membimbing skuad bawah 23 tahun pada tiga temasya Sukan SEA (di Jakarta, Myanmar dan Singapura) untuk menyenarai pendek nama saya.

“Selagi mampu memberikan pandangan demi kebaikan bola sepak, saya tidak merasakan ia akan memberikan kesan buruk. Sebaliknya saya menerima keputusan FAM dengan hati terbuka.

“Ramai yang tahu saya hanya mengemukakan permohonan bagi jurulatih skuad kebangsaan. Tapi saya bersedia bersama pasukan muda negara jika diperlukan,” kata Kim Swee.

Arena Metro semalam mendedahkan jurulatih berusia 44 tahun itu bersama dua lagi calon jurulatih dari Jerman kini berada dalam senarai akhir untuk dilantik sebagai jurulatih Skuad Projek Sukan SEA 2017.

Sumber rapat FAM memaklumkan, kemungkinan tugas itu diberikan kepada jurulatih dari Jerman itu dengan Kim Swee yang dilantik pengendali sementara Harimau Malaya selepas Dollah Salleh meletakkan jawatan pada 4 September lalu, bakal diberikan tugas secara tetap bersama skuad senior.

Namun keputusan bergantung kepada panel pemilih yang dibentuk Jawatankuasa Bertindak Khas FAM untuk membuat keputusan dan Kim Swee yang memiliki rekod memenangi pingat emas Sukan SEA Jakarta 2011 bersedia menerima sebarang tawaran.

Berikutan kontraknya selaku jurulatih Harimau Muda A bakal berakhir Disember ini, beliau bersedia menunggu keputusan itu meskipun ada pasukan dari liga tempatan mengintai untuk mendapatkan khidmatnya.

“Kontrak saya akan berakhir bulan depan tapi saya sudah dimaklumkan FAM yang saya akan meneruskan tugas sebagai jurulatih sementara sehingga jurulatih baru dilantik.

“Sama ada saya kekal atau sebaliknya saya sentiasa bersedia membantu skuad kebangsaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2015 @ 9:11 AM